Parti Cinta Malaysia: Serbu 3 kafe penguatkuasaan balas dendam

Parti Cinta Malaysia: Serbu 3 kafe penguatkuasaan balas dendam

Huan berkata, pihak berkuasa bagaimanapun tidak mengambil tindakan terhadap ramai lagi peniaga yang melanggar undang-undang di Pulau Pinang.

Huan-Cheng-Guani_penang_cafe_600
GEORGE TOWN:
Naib presiden Parti Cinta Malaysia menyokong dakwaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang melakukan penguatkuasaan terpilih dan kasar terhadap pengkritik mereka.

Huan Cheng Guan mengulas dakwaan seorang pemilik kafe di Pulau Pinang yang 3 kafe miliknya diserbu kerana beliau mengkritik kerajaan negeri.

“Jika kerajaan negeri benar-benar mahu menegakkan undang-undang dan keadilan, mengapa tiada pemeriksaan dilakukan ke atas premis lain yang jelas melanggar undang-undang?

“Ini adalah pentadbiran ala gengster kerajaan Pulau Pinang terhadap sesiapa yang berani mengkritik.

“Ini juga amaran halus buat rakyat Pulau Pinang untuk tidak mengkritik pentadbiran negeri, ketua menterinya dan parti pemerintah dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Nanyang Siang Pau memetik pemilik Kafe Kaffa, Patrick Ooi sebagai mendakwa PBT menjalankan pemeriksaan ketat ke atas 3 cawangan kafenya di Pulau Pinang dan Seberang Prai untuk mencari kesalahan, selepas beliau mengkritik seorang pemimpin negeri itu di surat khabar Cina.

Malah, penguat kuasa turut mengeluarkan kompaun kepada beliau atas kesalahan “memiliki tumbuh-tumbuhan menarik serangga perosak”.

Exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow menafikan PBT melakukan penguatkuasaan terpilih dan menyalahkan Gerakan sebagai batu api yang memainkan sentimen perkauman.

Katanya, pemilik kafe itu melanggar undang-undang dan PBT sekadar menguatkuasakan undang-undang tanpa sebarang motif tersembunyi.

Beliau turut menafikan tindakan diambil kerana pemilik kafe itu mengkritik kerajaan Pulau Pinang.

Pemilik dakwa 3 kafe diserbu selepas kritik Guan Eng

Kerajaan Pulau Pinang bertindak seperti mafia, kata BN

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.