Israel kaji semula hubungan dengan PBB

Israel kaji semula hubungan dengan PBB

Benjamin Netanyahu mengarahkan pendanaan kepada 5 institusi PBB dihentikan

netanyahu
BAITULMAQDIS: Israel akan mengkaji semula hubungan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Majlis Keselamatan meluluskan resolusi menuntut pembinaan penempatan Israel dihentikan, kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu semalam.

Undi itu berjaya diluluskan majlis 15 anggota pada Jumaat apabila Amerika Syarikat mengambil langkah untuk tidak melindungi Israel dan tidak menggunakan kuasa veto seperti sebelum ini – tindakan yang Netanyahu sifatkan sebagai “memalukan”.

“Saya sudah mengarahkan kementerian luar negeri untuk menyiapkan penilaian semula semua hubungan kami dengan PBB dalam masa sebulan, termasuk pendanaan institusi PBB dan kehadiran wakil PBB di Israel,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan.

“Saya sudah mengarahkan pendanaan sebanyak AS$7.8 juta (RM35.04 juta) kepada 5 institusi PBB dihentikan, 5 badan yang berseteru dengan Israel…dan akan ada lagi selepas ini,” katanya.

Pemimpin Israel itu tidak menamakan institusi terbabit atau menjelaskan secara lanjut.

Melawan tekanan daripada Israel dan bakal Presiden Donald Trump yang mahu Washington menggunakan kuasa veto, Amerika Syarikat memilih untuk berkecuali dalam keputusan Majlis Keselamatan, yang diluluskan dengan 14 undi.

Sejak berdekad Israel melaksanakan dasar membina penempatan Yahudi di wilayah yang ditawan Israel dalam perang 1967 termasuk Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur.

Kebanyakan negara melihat aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai haram dan menghalang usaha perdamaian.

Israel bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan itu, berdasarkan kepada hubungan biblikal kepada wilayah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.