
Ketua Penyelia Goldstar (M) Sdn Bhd Wilayah Selatan, Steven Chong, 52, berkata pihaknya akan menguruskan semua perbelanjaan penghantaran semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu.
“Pihak kami akan urus dan selesaikan mangsa yang maut terlebih dahulu, diikuti mangsa cedera termasuk insurans dan urusan penghantaran pulang jenazah.
“Kami juga sedia berikan apa jua kerjasama bagi membantu waris serta mangsa tragedi,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), hari ini.
Chong berkata, bas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu sepatutnya bertolak dari Stesen Bas Larkin pada jam 12.30 tengah malam tadi, namun terpaksa ditangguhkan sehingga 1.30 pagi disebabkan kesesakan lalu lintas.
Katanya, sehingga kini, pihaknya berusaha mengumpul maklumat lengkap semua mangsa terbabit untuk tindakan lanjut.
Mengenai pemandu bas terbabit, beliau berkata, Zakeer Zubir, 32, yang baru berkhidmat dengan syarikatnya lebih sebulan turut maut dalam kemalangan itu.
“Pihak kami baru dapat maklumat pemandu turut membawa bersama isteri dan anaknya dalam bas berkenaan. Anak perempuannya juga maut, manakala isterinya cedera,” katanya.
Dalam pada itu, Chong berkata, ini adalah kejadian pertama sepanjang kira-kira 30 tahun syarikat itu beroperasi.
Dalam kemalangan kira-kira 3.30 pagi tadi, sebuah bas ekspres terjunam ke dalam curam setinggi 10m sebelum merempuh benteng konkrit terowong di Kampung Jayor, dekat kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.
Selain 14 mangsa korban, 16 penumpang lain turut cedera, termasuk 6 warganegara Singapura dan 2 warga Myanmar.
Sementara itu, kerajaan negeri Johor menawarkan beberapa bentuk bantuan kepada semua mangsa nahas bas ekspres di Johor, awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, bantuan itu merangkumi kemudahan dan keselesaan kepada keluarga waris serta mangsa sepanjang berada di HPSF, Muar.
“Untuk peringkat awal, kerajaan negeri bersedia memberi bantuan berbentuk kemudahan dan keselesaan kepada keluarga termasuk keluarga dari Singapura.
“Bagi umat Islam, pengangkutan jenazah akan diuruskan sepenuhnya oleh jabatan bertanggungjawab (Jabatan Agama Islam Johor),” katanya selepas meninjau operasi di bilik mayat HPSF.
Abd Mutalip yang mewakili kerajaan Johor berkata, kerajaan negeri juga bersedia memberi kerjasama kepada kerajaan Singapura bagi membantu pengurusan mangsa dari republik itu yang cedera dan meninggal dunia.
Beliau mengucap takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka menerima dugaan itu dengan tabah.
“Pesanan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kerajaan negeri akan memberi bantuan tidak kira siapa.
“Di hospital juga akan ada sukarelawan yang membantu…pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri juga ada di sini (hospital),” katanya.