Kejayaan di PBB sementara, Trump lebih pro-Israel, kata Amanah

Kejayaan di PBB sementara, Trump lebih pro-Israel, kata Amanah

Malaysia perlu mulakan di negara sendiri dengan menghormati kaum minoriti dan memberikan keadilan kepada mereka, kata Raja Bahrin

raja-bahrin-shah
PETALING JAYA:
Sambil mengalu-alukan kecaman Majlis Keselamatan PBB terhadap penempatan haram Israel semalam, Amanah memberi amaran bakal presiden Amerika Syarikat akan mengambil pendirian yang lebih pro-Israel.

Donald Trump akan mengambil langkah itu walaupun AS hari ini memberi laluan kepada keputusan Majlis Keselamatan itu, kata Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

“Tahniah diucapkan kepada pentadbiran Presiden Barack Obama kerana akhirnya mempunyai keberanian untuk berdiri menentang kerajaan Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Bahrin melihat kecaman itu sebagai isyarat simbolik daripada Obama yang akan mengakhiri penggalnya awal tahun depan. Ia juga saguhati daripada AS. Trump sudah menyatakan pendirian pro-Israel, kata Raja Bahrin.

“Mereka yang mengharapkan perubahan pada dasar AS akan kecewa, Kita boleh jangkakan senario yang lebih buruk selepas ini.”

Mereka yang menentang pembantaian rakyat Palestin perlu bekerja keras menghalang penempatan haram dibina di atas tanah Palestin, tambahnya.

“Sekarang bukan sahaja penempatan haram Israel merebak, rumah Palestin yang lama dan sedia ada dirobohkan pihak berkuasa Israel.

“Rakyat Palestin yang tidak berdaya itu memerlukan sokongan yang berterusan dan bantuan daripada masyarakat antarabangsa.

“Malaysia perlu melipatgandakan usaha di Majlis Keselamatan PBB bagi menangani kerajaan AS pimpinan Trump yang lebih pro-Israel.”

Tetapi Malaysia perlu mulakan di negara sendiri, dengan menghormati kaum minoriti dan memberikan keadilan kepada mereka, kata Raja Bahrin.

“Terutamanya kepada masyarakat Orang Asli yang mengalami kesusahan sekarang ini.

“Nasib Orang Asli di Australia dan Amerika Syarikat sudah menjadi berita antarabangsa, maka kita harap keadaan Orang Asli kita juga tidak menjadi tajuk utama berita dunia.”

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.