Ahli Umno Sungai Besar pertahan ‘protes tuala’, sindiran Jamal terhadap Siti

Ahli Umno Sungai Besar pertahan ‘protes tuala’, sindiran Jamal terhadap Siti

Mereka berpendapat Jamal tidak bersalah, sebaliknya beliau ialah pemimpin berani dan kreatif dalam menyuarakan pandangan berhubung sesuatu isu.

Datuk-Imran-Tamrin
SUNGAI BESAR:
Ahli akar umbi Umno Bahagian Sungai Besar mempertahankan tindakan ketua parti kawasan itu, Datuk Seri Jamal Yunos mengadakan “protes tuala” terhadap gangguan bekalan air di Lembah Klang dan mempersendakan Datuk Siti Nurhaliza kurang subur.

Mereka berpendapat ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu tidak bersalah, sebaliknya beliau ialah pemimpin berani dan kreatif dalam menyuarakan pandangan berhubung sesuatu isu.

Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Imran Tamrin berkata, tindakan itu adalah kreativiti Jamal dalam cara beliau berpolitik.

“Pada pandangan saya, itu kreativiti dia sendiri dan tidak banyak pemimpin politik masa ini mempunyai inisiatif dan cara berfikir kreatif untuk membawa sesuatu isu ke depan.

“Apa sahaja yang Jamal buat itu adalah satu tindakan terbaik untuk menaikkan namanya di dalam masyarakat, terutama berhubung sesuatu isu yang ingin dibawanya,” katanya ketika ditemui FMT hari ini.

Beliau mengulas tindakan Jamal berjalan ke bangunan setiausaha kerajaan Selangor dengan hanya bertuala bagi membantah gangguan bekalan air besar-besaran sejak Isnin lalu di sekitar Lembah Klang, yang dikritik orang ramai.

Siti adalah antara mereka yang mengkritik “protes tuala” Jamal di Shah Alam, pada Rabu lalu. Penyanyi popular itu memuat naik gambar Jamal hadir di pintu pagar utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan hanya bertuala bagi membantah gangguan air ke Instagramnya.

Jamal kemudiannya membalas kritikan Siti dengan kenyataan seksis menyindir penyanyi itu masih belum menimang cahaya mata.

“Pesanan saya kepada Siti. Jaga air sendiri yang tidak berapa subur itu, atau cari air lain,” tulis Jamal menerusi pesanan WhatsApp, semalam, yang dikecam orang ramai termasuk pengguna Facebook.

Imran bagaimanapun mempertahankan Jamal dengan berkata, tindakan itu tidak salah kerana sebagai rakyat, beliau berhak mengkritik Siti dan mempertahankan diri daripada sebarang kecaman.

“Berkenaan komen Jamal terhadap Siti, itu hak masing-masing. Siti memberi pandangan terhadap tindakan Jamal. Sebagai individu, dia berhak beri pandangan (balas) kepada Siti.

“Jadi sepatutnya tidak jadi isu. Netizen pula mempunyai pandangan berbeza. Ia hak individu. Mereka nak kecam, komen, itu terpulang. Tetapi, setiap pandangan mestilah berasas. Bukan semata-mata komen nak ambil kesempatan dan populariti,” katanya.

Ahli Umno Bahagian Sungai Besar, Amir Azman Johar berkata, tidak semua tindakan Jamal itu teruk dan salah.

“Pada saya, tindakan Jamal bertuala itu hanyalah simbolik dan tidak salah. Tidak ramai pemimpin yang berani seperti Jamal,” kata pemuda berusia 23 tahun itu.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan sindiran Jamal terhadap Siti yang dianggap keterlaluan.

“Sepatutnya ada cara lain untuk membalas kritikan Siti Nurhaliza itu. Jamal boleh guna bahasa lain. Yang ini saya tidak sokong. Tetapi, soal perjuangan yang dibawa Jamal saya sokong,” katanya.

PAUTAN:

Kini, Jamal sindir Siti Nurhaliza kurang subur

Jamal berkemban ke pejabat kerajaan Selangor bantah gangguan bekalan air

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.