Itali sahkan suspek serangan trak di Berlin mati ditembak

Itali sahkan suspek serangan trak di Berlin mati ditembak

Anis Amri, dituduh membunuh 12 orang dan mencederakan ramai yang lain dalam serangan di pasar Krismas, Isnin lalu di mana kumpulan militan IS mendakwa bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

berlin_attcjk_600
MILAN:
Pegawai polis menembak mati seorang warga Tunisia yang juga suspek dalam serangan trak di Berlin, selepas 4 hari pencarian besar-besaran lelaki terbabit di seluruh Eropah.

Anis Amri, 24, dituduh membunuh 12 orang dan mencederakan berdozen yang lain dalam serangan pada Isnin di pasar Krismas, di mana kumpulan militan IS mendakwa bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Menteri Dalam Negeri Itali, Marco Minniti pada sidang akhbar di Rom berkata Amri ditembak mati selepas mengeluarkan pistol dan menembak ke arah polis yang menghalangnya untuk menjalankan pemeriksaan identiti rutin di stesen kereta api Sesto San Giovanni di sini, jam 3 pagi waktu tempatan.

Pemeriksaan identiti menunjukkan lelaki itu ialah Amri, kata menteri berkenaan.

Beliau juga memuji 2 anggota polis yang baru berkhidmat sebagai hero.

Tembakan yang menyebabkan suspek maut dilakukan anggota polis pelatih Luca Scata, 29, sementara seorang lagi anggota Christian Movio, 36, cedera di bahu dan kini mendapatkan rawatan di hospital.

“Itali berbangga dengan 2 anggota polis itu,” kata Perdana Menteri Paolo Gentiloni.

“Kami masih mengambil langkah berjaga-jaga, tidak memandang rendah terhadap apa juga ancaman tetapi apa yang berlaku ini menunjukkan kepada rakyat yang kerajaan ada di sini bersama mereka.”

Terdahulu, polis Jerman menahan 2 beradik lelaki kerana disyaki merancang serangan di sebuah pusat beli-belah, sementara pihak berkuasa di Australia dan Indonesia melaporkan rancangan serangan Krismas berjaya digagalkan.

Amri tidak dapat dikesan sejak serangan pada Isnin di tengah kota Berlin itu. Dia tiba di Itali dengan bot pendatang pada 2011 ketika kebangkitan “Arab Spring”.

Dia kemudian dipenjarakan kerana memulakan kebakaran di pusat pelarian. Dia kemudian dibebaskan pada 2015 dan ke Jerman, susulan sempadan terbuka Eropah.

Ketua Polis Milan Antonio De Iesu berkata Amri tiba di Itali dari Perancis.

Polis Jerman berkata polis percaya Amri memandu trak 40 tan yang digunakan dalam serangan itu susulan penemuan cap jarinya di dalam kenderaan itu.

Ganjaran AS$104,000 ditawarkan kepada maklumat yang membawa kepada penemuan Amri.

Di Tunisia, abang Amri merayu kepadanya supaya menyerah diri dan berkata: “Jika betul adik saya dalang di sebalik serangan itu, saya akan kata kepadanya ‘Kau memalukan kami’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.