
Menteri Kewangan Ke-2, Datuk Johari Ghani berkata Putrajaya mengira kos RM21 bilion adalah dari stesen MRT Sungai Buloh ke Kajang.
“Beliau (Rafizi) mengira dari Sungai Buloh ke Semantan. RM21 bilion adalah dari Sungai Buloh ke Kajang.
“Jadi pengiraannya salah. Beliau tidak tahu mengira,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-20 LRT KL Ampang di Bukit Jalil, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Johari bukan yang pertama mempertikaikan dakwaan Rafizi.
Beberapa hari lalu, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan menuduh Rafizi keliru dengan fakta mengenai kos projek MRT fasa pertama dan menegaskan semua laporan berita jelas memetik Najib sebagai berkata kos RM21 bilion adalah bagi keseluruhan MRT projek yang merangkumi 51km.
Fasa pertama projek MRT – laluan Sungai Buloh-Kajang – dilancarkan Jumaat lepas, manakala fasa ke-2, yang menghubungkan Semantan dan Kajang, dijadual memulakan operasinya pada 31 Julai tahun depan.
Rafizi sebelum ini berkata, RM21 bilion itu hanya untuk fasa 1, meliputi 21km dan 12 stesen.
Beliau juga mempertahankan dakwaannya kos MRT akan melebihi RM100 bilion secara keseluruhan dan mencabar Najib, Kabinet dan MRT Corp menyamannya jika beliau salah.
Ahli Parlimen Pandan itu juga memberikan Najib 7 hari untuk mengambil tindakan undang-undang atau memohon maaf kerana mengelirukan rakyat.