Kayamboo sanggup mati demi Malaysia

Kayamboo sanggup mati demi Malaysia

Rakan baik juruterbang TUDM yang maut dalam nahas pesawat terhempas semalam berkata, Mejar Kayamboo seorang yang sangat patriotik dan bangga dapat berkhidmat kepada negara.

koyomboo_6001
GEORGE TOWN:
Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Kayamboo Chellam pernah berkata dia sanggup mati untuk negara, berikrar untuk berjuang sehingga ke akhirnya demi keselamatan negara, kata seorang rakan rapatnya pada upacara pengebumiannya hari ini.

R Nathan, rakannya sejak kecil berkata Kayamboo seorang yang sangat patriotik dan sering bercakap mengenai kehebatan pasukan ketenteraan negara.

“Dulu dia pernah beritahu saya ‘Aku sanggup mati demi negara selagi aku masih bersama TUDM’.

“Dia juga berikrar untuk berkhidmat dengan tentera meskipun selepas bersara, iaitu tahun depan,” kata Nathan, 43, ketika ditemui di upacara pengebumian Kayamboo di Sungai Nibong di sini.

Difahamkan juruterbang TUDM diberi pilihan untuk bersara awal pada usia 45 tahun.

Kayamboo, 44, maut apabila pesawat jenis Beechcraft B200T yang dinaikinya bersama anak kapal lain terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, hari ini.

Semalam juga ialah hari lahirnya.

Kayamboo meninggalkan seorang balu, S Usha, 42, jururawat di klinik kerajaan, 2 anak perempuan dan 2 anak lelaki berusia antara 2 hingga 13 tahun.

Pada masa ini, Kayamboo bertugas di Kolej Latihan TUDM di Alor Star, Kedah.

Dalam kejadian jam 5.18 petang semalam, Kayamboo dan 3 yang lain dalam misi latihan dari Subang, Selangor ke Butterworth. Mereka sepatutnya kembali ke pangkalan udara Subang selepas melengkapkan perjalanan itu.

Tiga yang lain terselamat dalam insiden itu tetapi cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Pihak berkuasa tentera masih mengenal pasti punca nahas itu.

Sementara itu, Nathan berkata Kayamboo memang bercita-cita untuk menjadi juruterbang sejak kecil.

Katanya, sejak berkawan rapat dari kecil ketika tinggal berjiran di Jelutong, Kayamboo memang orang yang mengagumi kapal terbang.

“Kayamboo memang selalu berada di bahagian pesawat jika kami ke kedai buku sementara saya lebih minat buku kejuruteraan,” katanya.

Juruterbang maut, pesawat TUDM terhempas di Butterworth

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.