
ASNB hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2016.
Profesor Hoo Kee Ping berkata pengumuman itu menunjukkan ringgit masih belum jatuh teruk.
“Jika ringgit jatuh teruk, pasaran saham akan jatuh dan ASNB tidak mungkin memperoleh keuntungan langsung. Melihat mereka boleh beri pulangan ketika ekonomi merudum, ia luar biasa,” katanya kepada FMT.
Tahun lepas, ASNB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit dan bonus 50 sen seunit.
Anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu hari ini turut mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, berbanding 6.10 sen seunit tahun lepas.
Hoo berkata ia juga menunjukkan meskipun ringgi lemah iaitu RM4.48 berbanding sedolar Amerika, ketidakstabilan politik dan skandal 1MDB, pasaran saham masih dapat dikekalkan dengan baik.
Katanya, ASNB, pendapatan syarikat pemegang unit amanah itu berada dalam pasaran saham bukan dalam bentuk bon kerana pendapatan daripada bon hanya sehingga 3.75%.
“Susah hendak buat duit daripada bon kerana selepas ditolak kos, tidak banyak untung yang tinggal.
“Mereka bermain saham dengan baik. Masa yang tepat. Mereka berjaya,” katanya.
Hoo juga memuji ASNB kerana bijak membuat pilihan saham.
Katanya, pada masa ini sektor yang kekal dalam keadaan baik ialah minyak kelapa sawit dan elektronik.
Sementara itu, katanya sektor pembinaan mungkin kembali meningkat dengan adanya landasan LRT Bandar Utama ke Klang, Lebuh raya Pan Borneo di Sabah dan Tun Razak Exchange di ibu kota.
ASNB anak syarikat penuh milik PNB. Ia mempunyai 9 juta pemegang unit saham dan akan menerima agihan pendapatan RM9.78 bilion dan bonus RM500.4 juta.
Pengerusi PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata meskipun PBN menjangkakan 2017 akan menjadi tahun kewangan yang tidak menentu, pelaksanaan pelan strategik 6 tahun akan terus memacu syarikat untuk memberikan pulangan mampan dan berdaya saing bagi pemegang unitnya.
Agihan dan bonus ASNB sejak 2013 ialah RM7.70 (bonus 1 sen), 2014 (RM7.50, bonus 1 sen) dan 2015 (RM7.25 dengan bonus 50 sen).