
Setiausaha Bahagian (SUB) Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN, Alias Mamat berkata 2 garis terbaru itu dibuat berikutan terbitan hadis masa kini yang tidak perlu mendapat kelulusan KDN.
“Pada masa ini, kawalan hadis yang tidak mempunyai kelulusan KDN dilakukan mengguna pakai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984. Manakala, Akta Percetakan Teks Al Quran (APTQ) 1986 khusus bagi mengawal al-Quran.
“Oleh itu, bagi melaksanakan fungsi kawalan ini, Garis Panduan Penerbitan Teks Hadis dan Garis Panduan Penyemakan dan Penilaian Hadis sedang dibuat Lajnah Tahqiq Hadith KDN,” katanya menerusi satu wawancara di Sinar Harian.
Bagaimanapun, syarat baru itu tidak menetapkan kelulusan seperti penerbitan al-Quran yang perlu dihantar dan dicop terlebih dahulu.
Katanya, ini kerana syarat itu tidak akan mampu dilakukan kerana luasnya ilmu berkaitan hadis.
“Cuma, apabila kami adakan peraturan itu, kami harap syarikat atau pihak terlibat dalam penerbitan faham apabila bila hendak terbitkan al-Quran dan hadis, mesti berdasarkan garis panduan dikeluarkan ini.
“Tahun depan, pihak kami bercadang membuat penerangan kepada semua pihak, baik kepada penulis, mahupun penerbit, dan pencetak. Di negara lain, belum ada lagi yang menetapkan peraturan penulisan hadis ini, cuma di universiti dalam penulisan ilmiah hal ini sudah diwujudkan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata satu Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis ditubuhkan bertujuan menyediakan pandu arah mengekang penyebaran hadis palsu.
Pemantauan penyebaran hadis palsu menerusi penerbitan dan media sosial boleh membawa kepada penyelewengan.
Jawatankuasa itu akan menjadi rujukan masyarakat, terutama penulis dan pencetak bahan penerbitan agama dalam menentukan kesahihan hadis.
Katanya, garis panduan berkaitan penulisan hadis akan dikeluarkan sebagai panduan dan membimbing penulis dalam membuat semakan dan menentu sahkan hadis sebelum ditulis.
PAUTAN: