Menteri pertahanan arah panglima pantau nahas pesawat

Menteri pertahanan arah panglima pantau nahas pesawat

Seorang juruterbang maut, 3 lain cedera selepas pesawat jenis Beechcraft B200T yang dinaiki terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth petang tadi.

hishamuddin
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang untuk memantau nahas pesawat TUDM yang terhempas di Pulau Pinang petang tadi.

Dalam kejadian 5.18 petang tadi, seorang juruterbang maut manakala 3 lain cedera selepas pesawat jenis Beechcraft B200T yang dinaiki mereka terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth.

“Saya dah arah panglima tentera udara sendiri turun pantau,” kata menteri pertahanan menerusi Twitter.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mahu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap nahas itu.

Bernama melaporkan TUDM menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat punca sebenar kejadian.

Sehingga kini, identiti kesemua mangsa masih belum disahkan. Mayat juruterbang dan kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Sementara itu, timbalan perdana menteri bersedih dengan nahas yang menimpa 4 mangsa pesawat itu.

“Saya amat berdukacita yang mendalam atas kemalangan pesawat TUDM dan kematian juruterbang serta kecederaan. Semoga keluarga bersabar,” kata Datuk Seri Zahid Hamidi di Twitter.

Menurut portal rasmi TUDM, pesawat itu digunakan 16 Skuadron untuk pengawasan maritim yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang.

Tugas utama 16 Skuadron adalah memberi amaran awal atau melapor segera pengenalan kapal di perairan dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Skuadron itu juga meronda dan mengawasi kegiatan di kawasan pelantar minyak, zon menangkap ikan, kawasan terumbu karang yang diduduki dan dituntut, serta melapor kemasukan pendatang tanpa izin dan aktiviti pencemaran laut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.