PAS: Projek persekutuan petunjuk Mei bulan PRU14

PAS: Projek persekutuan petunjuk Mei bulan PRU14

Datuk Iskandar Abdul Samad membuat ramalan berdasarkan maklumat pelaksanaan projek kerajaan persekutuan.

samad-undi
PETALING JAYA:
Pilihan Raya Umum ke-14 mungkin diadakan pada Mei 2017, melihat kepada maklumat pelaksanaan projek daripada agensi kerajaan persekutuan.

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata lazimnya projek baharu akan dilancarkan ketika tempoh kempen pilihan raya.

“Selain dari itu, masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina pada akhir bulan Januari. Suasana perayaan akan berlarutan pada bulan Februari.

“Tetapi tentu sekali BN akan menggunakan peluang sambutan tersebut untuk berkempen dan mengumumkan gula-gula untuk rakyat,” kata Iskandar dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, bertambah yakin apabila Suruhanjaya Pilihan Raya sudah mengeluarkan jadual taklimat untuk petugas pilihan raya.

“Oleh yang demikian, kita perlu bersedia dengan pilihan raya umum yang mengejut. Selesaikan apa saja perkara yang belum diselesaikan dan lengkapkan segala persiapan,” katanya.

Seperti juga Iskandar, penganalisis tidak menolak kemungkinan PRU14 akan diadakan pada Mei tahun depan, memandangkan pilihan raya umum tidak akan diadakan pada atau selepas bukan puasa, atau ketika musim tengkujuh pada akhir tahun.

Dua slot lain adalah April, dan Oktober yang biasanya bulan kerajaan membentangkan Bajet.

“Kerajaan BN boleh menunggu sehingga nilai ringgit meningkat atau terus mengadakan pilihan raya umum sebelum ringgit menjunam ke tahap yang lebih rendah.

“Pandangan ramai adalah pilihan raya akan diadakan tanpa menunggu nilai Ringgit dipulihkan,” kata Iskandar.

PRU14 perlu diadakan sebelum 24 Ogos 2018.

Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membentuk pakatan pilihan raya untuk memastikan 1 lawan 1 menentang BN dalam pilihan raya akan datang.

Keengganan PAS untuk bekerjasama dengan PH mengundang kritikan daripada pimpinan pembangkang, yang khuatir parti Islam itu akan bekerjasama dengan Umno.

Iskandar bagaimanapun percaya Umno akan mengambil kesempatan daripada muktamar PAS yang akan diadakan pada akhir April dan awal Mei untuk melemahkan jentera parti Islam itu.

“Oleh yang demikian, tidak hairan jika Parlimen akan dibubarkan ketika muktamar tahun ini untuk mengganggu persiapan pilihan raya PAS,” katanya.

Pemerhati ramal Najib pilih Oktober adakan PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.