Perlu ada badan pakar bebas bantu Rohingya, kata menteri

Perlu ada badan pakar bebas bantu Rohingya, kata menteri

Datuk Seri Anifah Aman di Yangon hari ini turut mencadangkan Asean menyelaraskan bantuan kemanusiaan ke Rakhine, seperti yang pernah dilakukan semasa tragedi taufan Nargis pada 2008.

Anifah-Aman
PUTRAJAYA: Malaysia mengemukakan beberapa cadangan penting bagi menangani isu berhubung nasib etnik Rohingya, termasuk keperluan bagi Asean menubuhkan badan pakar bebas atau kumpulan tokoh terkemuka untuk menyiasat serta menentu sahkan situasi di Rakhine, Myanmar.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ketika menggariskan cadangan itu untuk pertimbangan kerajaan Myanmar semasa Pemukiman Menteri-Menteri Luar Asean di Yangon hari ini turut mencadangkan Asean menyelaraskan bantuan kemanusiaan ke Rakhine, seperti yang pernah dilakukan semasa tragedi taufan Nargis pada 2008.

“Saya percaya perkara paling mendesak sekarang adalah keadaan darippada aspek kemanusiaan penduduk di kawasan terjejas.

“Seperti dalam kes lain, kami menggesa akses kemanusiaan tanpa halangan ke kawasan yang terjejas,” katanya dalam intervensi beliau pada pemukiman itu dan menambah badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Malaysia kini bersedia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.

Anifah berkata pertubuhan kemanusiaan antarabangsa seperti Persekutuan Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) juga perlu diberi akses penuh ke kawasan terjejas dalam usaha menilai keadaan di sana dan menyalurkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan.

Mengenai cadangan penubuhan sebuah kumpulan pakar bebas atau kumpulan tokoh terkemuka, Anifah berkata cadangan itu bertujuan membantu Asean merumuskan penyelesaian jangka panjang dan berkekalan kepada situasi di utara Rakhine itu.

“Kumpulan bebas ini kemudian akan mengemukakan syor kepada kami berhubung langkah seterusnya yang perlu diambil. Saya percaya dalam mengekalkan semangat Pemusatan Asean dan kesepaduan, kita perlu menangani isu ini secara bersama,” katanya.

Mengambil maklum isu yang dihadapi Myanmar sangat rumit dan sukar, Malaysia sesungguhnya percaya Myanmar perlu mempertingkatkan usaha dalam menangani punca sebenar masalah itu, katanya.

Anifah berkata beliau percaya janji Aung San Suu Kyi untuk menangani punca sebenar yang memberi kesan kepada penduduk tempatan, iaitu kewarganegaraan dan status, dan menyediakan bantuan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal sejak 2012, akan memberi kesan jangka panjang dalam meredakan ketegangan dan menggalakan penyelesaian yang realistik serta berkekalan.

Beliau turut berharap kerajaan Myanmar akan mempertimbangkan pelbagai cadangan yang dikemukakan menteri luar Asean itu.

Anifah berkata Malaysia akan terus menyuarakan kebimbangannya selain menyalurkan bantuan diperlukan kepada Myanmar menerusi pelbagai platform, sama ada secara dua hala atau menerusi Asean, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan platform lain yang berkaitan.

“Kami harap ulasan dan cadangan kami akan diberi perhatian serius oleh kerajaan Myanmar.

“Kita semua bersaudara dalam komuniti Asean, yang mana kita menyatakan komitmen untuk merealisasikan matlamat Asean ke arah keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berkekalan, pertumbuhan ekonomi yang mapan dan perkongsian kemakmuran serta kemajuan sosial,” katanya.

Anifah berkata dalam usaha menenteramkan komuniti antarabangsa, kerajaan Myanmar boleh mengeluarkan pernyataan berhubung langkah seterusnya yang boleh diambil seperti dicadangkan negara anggota Asean.

Beliau berkata bagi melenyapkan dakwaan tentang “pembersihan etnik” atau dalam sesetengah kes “pembunuhan beramai-ramai”, menjadi kewajipan kerajaan Myanmar untuk bersikap telus dan memberi maklumat yang tepat dan kena pada masanya di samping membenarkan akses ke kawasan yang terjejas.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.