
Beliau mengulas mengenai laporan Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA) bagi pelaksanaan projek tersebut.
Laporan itu menyebut tentang kemusnahan habitat laut yang akan menjejaskan pendapatan nelayan di kawasan terlibat.
“Kami bersimpati dengan nasib nelayan di kawasan berkenaan namun Umno Pulau Pinang akan sedaya upaya membantu mereka dari segi berurusan dengan kerajaan persekutuan berhubung isu alam sekitar.
“Memang nelayan boleh lagi mencari sumber pencarian namun hasilnya tidak akan sama seperti apa yang mereka peroleh seperti hari ini jika projek tambakan laut itu diteruskan kerana ia menjejaskan hidupan marin,” kata Zainal dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Difahamkan, projek tambak laut itu bagi membina 3 pulau buatan untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) membabitkan kawasan Permatang Damar Laut, Sungai Batu dan Gertak Sanggul.
Lebih 3,000 nelayan mencari hasil laut di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang turut hadir berkata selain 3,000 nelayan di kawasan itu, terdapat sebahagian nelayan dari Perak dan Kedah turut mencari hasil laut di situ.
Timbalan menteri kesihatan itu berkata beliau sudah bertemu dengan perdana menteri berhubung isu itu dan memberitahu kajian DEIA itu tidak akan diluluskan memandangkan habitat laut yang terjejas.