
Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong berkata, hartanah yang terletak berdekatan kemudahan pengangkutan awam dan mempunyai pelbagai akses laluan sentiasa mendapat harga baik.
“Pemilik hartanah boleh menikmati pulangan modal lebih tinggi yang datang dengan ketersambungan dipertingkatkan,” katanya kepada FMT.
Chang menasihatkan bakal pembeli rumah melakukan penyelidikan mengenai selok-belok lokasi hartanah dan reputasi pemaju terlebih dahulu.
“Beli daripada pemaju yang mempunyai rekod baik dan kedudukan kewangan kukuh,” katanya sambil menasihatkan pembeli rumah mencari kawasan tidak terlalu sesak.
“Kawasan padat penduduk akan mengalami pencemaran bunyi dan kemasukan orang luar yang akan meletak kenderaan sembarangan. Ia akan menyebabkan penduduk tidak mempunyai privasi.
“Kesesakan lalu lintas juga boleh berlaku kerana jalan di kebanyakan kawasan perumahan tidak direka untuk trafik sesak.”
Jurulelong, Suresh M menjangkakan nilai hartanah yang jaraknya 5 minit dari stesen MRT akan meningkat secara beransur-ansur.
“Sebelum pelancaran MRT, pemaju sudah mula menggunakan projek itu sebagai cara memasarkan hartanah mereka.”
Beliau berkata, hartanah di kawasan komersial seperti Mutiara Damansara, Kota Damansara dan Bandar Utama dijangka mendapat harga lebih tinggi berbanding lokasi lain seperti Sungai Buloh.
“Kawasan komersial itu sudah membangun dan cenderung menarik lebih ramai pembeli.
“Kawasan berkenaan mempunyai pusat beli-belah, blok pejabat dan banyak kemudahan lain yang menjadikan ia lebih menarik kepada pembeli rumah berpotensi.”
Katanya, perkhidmatan bas perantara yang baik juga akan memberi kesan besar kepada harga hartanah.
“MRT dan perkhidmatan bas perantara adalah alternatif lebih murah berbanding memandu kerana penumpang (pengangkutan awam) boleh jimat petrol, tol dan bayaran tempat letak kereta.
“Pemilik rumah akan mendapat manfaat kerana mereka boleh menaikkan sewa rumah.”
Operasi fasa pertama MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dilancarkan semalam, manakala fasa kedua MRT Laluan Semantan-Kajang membabitkan terowong bawah tanah akan dibuka pada 31 Julai 2017.
Kedua-dua fasa itu ialah sebahagian daripada projek MRT sepanjang 51km dengan 31 stesen.
MRT akan menyediakan 112 bas perantara yang akan beroperasi di 25 laluan dari 12 stesen mulai semalam yang meliputi stesen Sungai Buloh; Kampung Selamat; Kwasa Damansara; Kwasa Sentral; Kota Damansara; Surian; Mutiara Damansara; Bandar Utama; Taman Tun Dr Ismail; Phileo Damansara; Pusat Bandar Damansara dan Semantan.