Orang Asli di Baling dibelenggu ketagihan arak, gam

Orang Asli di Baling dibelenggu ketagihan arak, gam

Sudah menjadi pemandangan biasa melihat Orang Asli tekun beratur di kedai runcit untuk membeli arak dan gam.

asli
GEORGE TOWN:
Di pekan kecil Kampung Lalang, Ulu Legong yang terletak dalam daerah Baling, Kedah, hidup sekumpulan 300 Orang Asli Kansiue.

Majoriti 78 keluarga di sini beragama Islam, tetapi hampir separuh daripada mereka penghidu gam dan ketagih arak, kata Razali Kulim, Tok Batin masyarakat Kansiue di Kampung Lalang.

“Saya rasa boleh dikatakan hampir separuh komuniti ketagihan.

“Kerana kanak-kanak dan kaum wanita, kaum ibu pun termasuk sekali,” katanya kepada FMT.

Razali, 37, berkata tabiat menghidu gam dan minum arak membelit masyarakat itu sejak umurnya 12 tahun.

Menurutnya, masalah itu diperkenalkan orang luar, dan memberi kesan kepada semua peringkat umur.

Sejak bertahun lamanya, pelbagai usaha diambil membantu memulihkan mangsa ketagihan, termasuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat dan kaunseling daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

“Tapi tak berkesan, kerana gam dan arak itu senang didapati. Kedai yang jual itu berhampiran dengan kampung. Lebih kurang 1km. Jalan kaki sudah boleh sampai.

“Saya pernah masuk mesyuarat dengan pejabat daerah. Mereka beritahu, di Kampung Lalang tak ada kedai berlesen untuk jual arak,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, kata Razali, pengendera bermotorsikal akan masuk ke kampungnya dan menjual gam dan arak kepada mereka.

“Bagaimana nak atasi masalah ketagihan di kalangan orang kampung? Saya dah buntu,” katanya.

Masyarakat Orang Asli di Kampung Lalang hidup sederhana belaka. Kebanyakan mereka melakukan kerja kampung, bekerja di kebun dan menoreh getah. Dengan sedikit wang yang ada itu, mereka yang ketagihan akan bergegas ke kedai runcit.

Razali, yang bekerja sendiri, berkata sudah menjadi pemandangan biasa melihat Orang Asli tekun beratur di kedai runcit untuk membeli arak dan gam.

“Kami berharap boleh dapat bantuan untuk hentikan masalah ini demi kebaikan komuniti,” katanya.

Masalah ketagihan gam dan arak dalam kalangan Orang Asli Kansiue di Baling disuarakan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) awal minggu ini selepas Razali memohon bantuan mereka.

CAP menjalankan tinjauan sehari di pekan itu 2 minggu lalu, dan aktivis mendapati Orang Asli dewasa – termasuk wanita dan kanak-kanak – membeli arak dan gam pada harga RM5 setiap satu di sebuah kedai runcit di pekan.

CAP dalam kenyataannya berkata lebih 30 orang wanita dan kanak-kanak berusia 9 hingga 15 tahun didapati mengambil bahan itu; pengguna boleh menghabiskan sehingga RM25 sehari hanya untuk memuaskan ketagihan.

Pegawai CAP, Zulkifli Yusuf, yang turun ke Baling untuk meninjau dan menemubual orang tempatan, berkata kedai runcit itu hanya menjual barangan tersebut kepada Orang Asli sahaja.

“Saya cuba pergi beli tapi orang di kaunter itu kata tiada,” katanya kepada FMT.

Zulkifli berkata CAP sedang menulis kepada pihak berkuasa, seperti kerajaan Kedah, Majlis Daerah Baling, JKOA, Kementerian Belia dan Sukan serta polis menggesa tindakan diambil bagi menghentikan penjualan gam dan arak kepada masyarakat itu.

Ketika ditanya, Exco Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Wanita Kedah Datuk Suraya Yaakob memberitahu FMT, pihaknya perlu memeriksa pendedahan CAP itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.