Terlalu awal bincang pembahagian kerusi, kata PKR

Terlalu awal bincang pembahagian kerusi, kata PKR

Kerjasama PH dan PPBM masih di peringkat awal dan isu berkenaan hanya dibincangkan apabila tiba masa sesuai.

Saifuddin Nasution
PETALING JAYA: Pakatan pilihan raya di antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih belum sampai ke peringkat pembahagian kerusi, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

Menurut beliau, kerjasama PH dan PPBM masih di peringkat awal dan isu berkenaan pembahagian kerusi hanya akan dibincangkan apabila tiba masa yang sesuai.

“Kita baru 2,3 hari buat MOU (memorandum persefahaman), jadi perlaksanannya belum dibincangkan lagi. Apabila sampai masa, insya-Allah (perbincangan pembahagian kerusi bertanding). Tapi sekarang belum lagi,” katanya kepada FMT.

Pada 13 Disember lalu, PH dan PPBM menandatangani memorandum persefahaman bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, gabungan PH dan PPBM merupakan langkah kerjasama pertama dalam menuju PRU.

Terdapat 7 perkara disenaraikan dalam perjanjian itu dan salah satunya adalah 1 calon mewakili PH dan PPBM dalam pilihan raya akan datang, malah calon juga dipilih berdasarkan persetujuan semua parti dalam pakatan itu.

Malah, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meminta agar parti dalam gabungan itu memberi laluan kepada partinya untuk bertanding di kerusi tertentu.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata setakat hari ini, pakatan pilihan raya itu hanya di peringkat program bersama di atas pentas ceramah.

“Belum lagi. Kita belum bincang lagi (pembahagian kerusi bertanding). Sekarang hanya peringkat program bersama, pentas ceramah bersama, begitu sahaja. Sekarang itu sahaja,” katanya.

Semua parti komponen dalam PH dan PPBM bersetuju menggunakan logo, manifesto dan rangka kerja yang sama untuk PRU nanti.

Sesetengah pihak terutamanya PAS berpendapat pakatan pilihan raya itu tidak akan memberi impak besar sebaliknya PH dan PPBM masih memerlukan PAS bagi merealisasikan pertandingan 1 lawan 1.

Pada PRU13 lalu, PKR bertanding 99 kerusi di peringkat Parlimen dan DAP 51 kerusi, manakala PAS meletakkan 73 calon bertanding di peringkat Parlimen.

 

Pakatan Harapan, PPBM tandatangan pakatan pilihan raya

Dewan Ulama: PH-PPBM akan bercakaran, perlu PAS lawan BN

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.