
Melinda yang merupakan pengerusi bersama Yayasan Gates berkata demikian kepada AFP ketika menghadiri persidangan mengenai topik itu di Ivory Coast semalam.
Menurutnya, pemimpin agama Islam tidak melarang perancangan keluarga bagi menghadkan bilangan anak dan menerima hakikat ia sesuatu yang dibenarkan Al-Quran.
“Apabila bertemu pemimpin agama, mereka menceritakan kisah mengenai ibu, adik beradik atau isteri yang meninggal dunia ketika melahirkan anak.
“Mereka sedar wanita lebih baik menggunakan pil cegah kehamilan, dan anda perlu bermula daripada situ,” katanya.
Melinda berkata merancang anak membantu penduduk Afrika menjadi bertambah sihat dan lebih berkemampuan, manakala wanita yang tidak menggunakan ubat cegah kehamilan terperangkap dalam putaran hidup yang dibelenggu kemiskinan.
Melinda berkata wanita boleh memilih menjarakkan jurang umur di antara anak mereka.
Pakar dari 9 negara bermesyuarat di Abidjan, ibu negara Ivory Coast, dalam usaha meluaskan amalan perancangan keluarga kepada 2.2 juta orang lagi di benua itu menjelang 2020.
Melinda bagaimanapun berkata merancang keluarga tidak boleh dipaksa, dan hanya boleh berjaya melalui pendidikan.
“Wanita terbabit perlu dididik mengenainya dan membuat keputusan sama ada mahu memilih berbuat demikian.
“Banyak contoh di seluruh dunia. Paksaan bukan caranya. China juga berpaling daripada polisinya,” katanya dipercayai merujuk dasar di China satu masa dulu yang hanya membenarkan satu anak setiap keluarga.
Sementara itu, Melinda menceritakan pertemuannya dengan seorang wanita Niger yang terpaksa menjaga 6 orang anak sementara suaminya keluar bekerja.
“Saya tidak boleh lagi menimang lebih ramai anak. Tidakkah anda lihat ini soal hidup mati bagi saya?” Gates memetiknya berkata.