
Serangan pertama dipercayai berpunca daripada bom dipasang di dalam kereta yang diletakkan di luar stadium bola sepak itu di tepi selat Bosphorus sementara serangan bom berani mati dilakukan di taman berhampiran.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dalam satu kenyataan berkata akibat kejadian itu ramai cedera, termasuk seorang yang dipercayai menjadi punca letupan bom di dalam kereta.
Pegawai rasmi kerajaan belum dapat memberikan jumlah tepat kematian dan kecederaan dengan Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu berkata sekurang-kurangnya 20 anggota polis cedera akibat letupan di luar stadium – susulan pertandingan antara Besiktas melawan Bursaspor.
“Tindakan keganasan itu menyasarkan pasukan keselamatan kami dan rakyat di Besiktas malam tadi,” kata Erdogan.
Besiktas ialah nama kawasan kejiranan itu berhampiran arena kelab bola sepak berkenaan.
Erdogan berkata letupan yang berlaku sejurus selepas perlawanan itu tamat bertujuan untuk menyebabkan kehilangan nyawa yang maksimum.
“Sekali lagi kami menyaksikan keganasan berlaku di Istanbul yang meruntuhkan nilai dan moral,” katanya.
Erdogan berkata “nama atau kaedah organisasi keganasan yang melakukan serangan itu” tidak penting.
“Tidak ada sesiapa patut meragui yang kami akan tewaskan keganasan, kumpulan keganasan, pengganas dan sudah tentu kuasa di belakang mereka, dengan bantuan Tuhan,” katanya.