Syarikat China catat rekod prestasi cemerlang, kata menteri

Syarikat China catat rekod prestasi cemerlang, kata menteri

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata sekatan Bank Dunia tidak terpakai kepada China Communications Construction Company yang terbabit dalam projek ECRL.

rahman-dahlan_ECRL-train_600
KUALA LUMPUR:
Putrajaya mempertahankan rekod China Communications Construction Company (CCCC) – yang terbabit dalam projek Landasan Kereta api Pantai Timur (ECRL), dengan berkata syarikat itu tidak pernah dikenakan sekatan oleh Bank Dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam menjelaskan lanjut jawapan bertulisnya di Dewan Negara pada Khamis berkata kumpulan CCCC mempunyai rekod baik bagi beberapa projek di Malaysia termasuk Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang siap pada 2014.

“Baru-baru ini, CCCC juga memperoleh projek penambakan bernilai RM2 bilion menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pembabitan CCCC dalam ECRL mencetuskan dakwaan yang syarikat itu disenaraihitamkan oleh Bank Dunia.

Rahman berkata CCCC ditubuhkan menerusi penggabungan beberapa syarikat termasuk China Road dan Bridge Company (CRBC) dengan pemilik majoriti CCCC ialah kerajaan China.

“CRBC secara unilateral dihukum Bank Dunia kerana terdapat penyelewengan dalam projek pembinaan jalan di negara jiran.

“Kesannya, Bank Dunia melarang CRBC terbabit dalam sebarang projek jalan atau jambatan yang dibiayai Bank Dunia,” katanya.

Kenyataan itu berkata perubahan dalam sistem sekatan Bank Dunia, yang memerlukan organisasi pengganti tertakluk kepada hukuman sama, menyebabkan CCCC tidak layak terbabit dalam pembinaan jalan dan jambatan dibiayai Bank Dunia.

Sekatan itu akan berakhir dalam tempoh sebulan lagi iaitu pada 12 Januari tahun depan.

Rahman berkata ECRL bukan projek pembinaan jalan raya atau jambatan, dan tidak dibiayai Bank Dunia, maka sekatan Bank Dunia tidak terpakai kepada penyertaan CCCC dalam projek ECRL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.