
Peringatan itu disampaikan kepadanya ketika Dr Mahathir mengecam parti etnik Cina dalam catatan blog “Associating with thieves”.
Bekas presiden Umno itu mengecam MCA sebagai parti tanpa prinsip dan alat Umno dan presidennya, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata MCA teguh berdiri di belakang kepimpinan BN, termasuk ketika ia dikemudi Dr Mahathir.
Antaranya apabila Mahkamah Agung mengharamkan Umno pada 1988 dan penubuhan parti baharu, Umno baru.
“Ketika itu, presiden MCA selaku pengerusi BN, dan secara tidak langsung perdana menteri sehari, sebelum Umno Baru diterima masuk ke BN supaya Dr Mahathir boleh menjadi perdana menteri,” katanya.
Beliau turut menyorot peristiwa 1998 ketika MCA menyokong bekas perdana menteri itu yang diserang oleh bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ketika Malaysia digugat krisis kewangan 1998 dan (menteri kewangan ketika itu) Anwar Ibrahim mahu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) masuk, MCA bersama Dr Mahathir menentang cadangan itu demi mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.
“Pada kemuncak gerakan Reformasi apabila rakyat turun ke jalanan demi Anwar Ibrahim, MCA tetap bersama Dr Mahathir.”
“Dalam sejarah MCA, kami tidak pernah mengabaikan Perikatan dan BN. Secara dalaman, ada masanya parti mungkin berdepan masalah yang diselesaikan dengan pantas, tetapi hubungan kami dengan komponen BN lain kekal utuh.”