
“Ia sangat bersih, pengerakan nisbah pertaruhan dalam Liga Malaysia stabil,” kata Wilson Raj Perumal, lelaki yang digelar pengatur perlawanan paling terkenal di dunia kepada Channel NewsAsia hari ini.
Menurut Channel NewsAsia, Perumal tidak berpuas hati dengan kenyataan penyiasat pengaturan perlawanan terkemuka Chris Eaton, yang merupakan ketua keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) semasa warga Singapura itu diheret ke muka pengadilan pada 2011.
Pada 8 November lepas, Malaysia dilaporkan mengambil alih kedudukan Singapura sebagai hab pengaturan perlawanan sukan di Asia Tenggara susulan operasi pembasmian di negara pulau itu.
“Malaysia menjadi pusat di Asia Tenggara,” kata Eaton seperti yang dilaporkan.
Beliau berkata Singapura berjaya mematahkan sindiket pengaturan perlawanan bola sepak, bagaimanapun beliau menambah masih ada yang bekerjasama rapat dengan sindiket di Malaysia.
“Pengaturan perlawanan bukan sahaja berlaku di Asia Tenggara.
“Ia turut berleluasa di Rusia, Latvia, Lithuania, Estonia. Persatuan-persatuan bola sepak sibuk membersihkan masalah itu.
“Eaton perlu membuktikan tuduhan terhadap negara terbabit dan jangan buat tuduhan tak berasas,” kata Perumal, yang mempunyai biografi “Kelong Kings: Confessions of the world’s most prolific match-fixer”.
Menurut Channel NewsAsia, Perumal mungkin dibebaskan daripada tahanan rumah di Hungary dan dihantar pulang ke Singapura pada 2017.
Lelaki berusia 51 tahun itu, dipercayai mengatur sehingga 100 perlawanan di seluruh dunia, disimpan di Budapest sejak 2012 di bawah program perlindungan saksi semasa membantu siasatan ke atas rasuah dalam bola sepak.
Beliau dikehendaki di Singapura selepas melarikan diri dari hukuman penjara 5 tahun kerana melanggar seorang polis bantuan pada 2009.
Perumal berdepan risiko penahanan sekiranya beliau dihantar pulang ke Singapura – sepertimana nasib yang menimpa seorang lagi pengatur perlawanan Dan Tan Seet Eng, yang ditahan sejak Oktober 2013 di bawah Akta Undang-Undang Jenayah (Peruntukan Sementara), katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyangkal dakwaan Malaysia pusat pengaturan perlawanan di Asia Tenggara, dan berkata polis tidak menerima sebarang bukti kukuh.
Katanya polis menganggotai jawatankuasa integriti yang ditubuhkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dan langkah diambil bagi menghalang rasuah dan pengaturan perlawanan secara aktif.
“Saya ingin tegaskan polis tidak terima sebarang maklumat berkenaan dakwaan itu, sama ada daripada Fifa, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atau sumber lain,” katanya.
Khalid mengalu-alukan sebarang maklumat yang boleh membantu membongkar rasuah bola sepak yang didakwa berleluasa itu, bersama bukti yang kukuh dan ketara.