Rohingya berdepan rasisme media Myanmar dan penduduk tempatan

Rohingya berdepan rasisme media Myanmar dan penduduk tempatan

Bekas duta Malaysia ke Myanmar berkata apa yang berlaku di Myanmar hari ini adalah rentetan daripada dasar penjajah, dan berkata ia memberikan pengajaran mengenai keharmonian antara kaum.

Rohingya-ambassador
KAJANG:
Kerajaan Myanmar bukan sahaja bertanggungjawab menghentikan keganasan ke atas penduduk Rohingya, tetapi juga perlu mengambil tindakan terhadap kenyataan perkauman yang ditujukan ke atas komuniti itu, menurut seorang bekas duta Malaysia ke negara itu.

Datuk Mazlan Muhammad yang merupakan diplomat Malaysia berpengalaman lebih 35 tahun menjelaskan permusuhan antara penduduk Myanmar dan komuniti Rohingya berlaku sejak zaman penjajahan.

Menurutnya, penduduk di Bangladesh dan Burma (Myanmar) termasuk di wilayah Arakan (Rakhine) yang kini bergolak saling berpindah oleh kerana ketiadaan sempadan negara yang hanya mula diperkenalkan pada zaman penjajah.

“Ia seperti di utara Kelantan dan selatan Thailand. Di Kelantan, ada yang bertutur Siam dan di selatan Thailand, ada yang bertutur bahasa Melayu,” kata Mazlan kepada FMT.

“Apabila Britain menjajah Burma dan melukis sempadan, sebahagian penduduk Rohingya mendapati mereka berada di wilayah Burma. Penduduk Rohingya berkata mereka berada di situ sejak kurun ke-6 tetapi sudah tentu Myanmar tidak mengiktirafnya.”

Mazlan berkata ramai di Myanmar tidak menganggap penduduk Rohingya sebagai orang tempatan, tetapi kaum yang didatangkan penjajah.

Burma pernah ditadbir Britain sebagai salah sebuah wilayah India, di mana Hindi dijadikan bahasa rasmi selepas Inggeris, dan ini menyumbang kepada persengketaan lampau.

Mazlan berkata permusuhan rakyat Myanmar dan Rohingya yang berterusan sehingga hari ini disebabkan polisi penjajah.

Menurutnya, apa yang berlaku di negara itu perlu dijadikan pengajaran di Malaysia, sambil mengingatkan akan bahaya mengungkit sejarah lampau.

Beliau memberi contoh bagaimana sewaktu usia mudanya, masih ada lagi orang yang bercakap mengenai kekejaman dilakukan Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) yang didominasi kaum Cina dan dituduh menyasarkan orang Melayu.

“Percakapan sebegini tidak sihat. Begitu juga, masih ramai antara kita yang suka menyentuh rusuhan kaum 13 Mei (1969) dan ini merumitkan usaha membina kepercayaan di antara kaum.”

Mazlan berkata kerajaan Myanmar perlu segera menangani ucapan dan kenyataan rasis terhadap Rohingya sama ada oleh golongan agamawan mahupun media.

Beliau berkata umat Islam di luar wilayah Rakhine hidup aman, dan masjid di ibu kota Yangon terletak bersebelahan sebuah pagoda Buddha dan melaungkan azan.

“Sekiranya mereka boleh bertoleransi terhadap umat Islam di Yangon, mereka juga perlu bertoleransi terhadap umat Islam di Rakhine.”

Wilayah Rakhine kembali bergolak sejak Oktober selepas serangan ke atas penduduk Rohingya, yang dinafikan hak kewarganegaraan oleh Myanmar susulan pindaan perlembagaan.

Lebih 10,000 penduduk Rohingya dilaporkan melarikan diri ke sempadan Bangladesh.

Beribu-ribu penduduk Rohingya turut melarikan diri ke Malaysia dan Thailand. Minggu lalu, kerajaan Malaysia mengecam Yangon kerana menekan penduduk Rohingya sambil menyatakan kesediaan memutuskan hubungan diplomatik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.