
Seorang pelancong Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Azreen, berkata dia dan suami yang menginap di sebuah hotel di sana, dikejutkan dengan gegaran dan siren kecemasan tanda evakuasi segera kira-kira jam 5 pagi tadi (waktu Malaysia 6 pagi).
“Terasa goyang yang sangat kuat kira-kira 10 saat. Saya terus buka tingkap dan melihat ramai orang bertempiaran keluar dalam ketakutan. Kami bergegas mengambil pasport dan berkumpul di lobi hotel bersama-sama pelancong lain,” katanya.
Beliau yang baru tiba semalam untuk bercuti di Aceh berkata turut kedengaran laungan azan dan bacaan Al-Quran di kawasan masjid berdekatan hotel selain orang ramai mengucap dua kalimah syahadah tanpa henti sewaktu kejadian tersebut.
Sejurus gempa bumi terhenti, Azreen dan suami kemudian bergegas mengambil beg pakaian dan meninggalkan kawasan tersebut.
Sementara itu, seorang pekerja agensi pelancongan di Banda Aceh, Bahrul Ilmi ketika menceritakan kejadian itu berkata beliau dan keluarganya sedang menunggu azan Subuh sebelum gegaran kuat dirasai.
“Gegaran cukup kuat dan kami sempat lari ke depan rumah untuk evakuasi. Alhamdulillah tidak ada rumah rosak atau penduduk cedera parah di Banda Aceh ini,” katanya ketika ditemu ramah melalui WhatsApp.
Seorang lagi pekerja agensi pelancongan di Banda Aceh yang hanya mahu dikenali sebagai Andy berkata ada jalan raya yang rosak hingga terbelah dan kawasan perniagaan musnah di kawasan Pidie Jaya akibat gegaran gempa itu.
Media Indonesia melaporkan lebih 20 maut dalam gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter di Pidie Jaya, Aceh pagi tadi selain kerosakan harta awam, bangunan pejabat, masjid dan perniagaan dalam tragedi itu.