Dr Mahathir kecam MCA, puji DAP

Dr Mahathir kecam MCA, puji DAP

Bekas perdana menteri mempertahankan kerjasama dengan DAP dan mengecam MCA yang bukan lagi parti Tun Tan Cheng Lock

mahathir-liow
KUALA LUMPUR:
Andaian tiada kawan dan musuh yang kekal dalam politik terbukti benar apabila Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam MCA dan memuji DAP.

Semasa menjadi presiden Barisan Nasional, beliau memuji MCA yang merupakan sekutu Umno, dan mengecam DAP.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam catatan blog terbaharu mengulas kenyataan presiden MCA Liow Tiong Lai yang mengecam DAP kerana bekerjasama dengannya.

Tiong Lai semalam berkata DAP mengangkat PAS, yang pernah dikritik parti itu, umpama ‘malaikat’ dalam pilihan raya umum 2013. Beliau menambah DAP yang dahulunya mengecam Dr Mahathir sebagai seorang diktator kini mengangkat bekas perdana menteri itu.

“Saya tertanya bagaimana DAP boleh hadap pemimpin terdahulu yang menentang Dr Mahathir dan PAS? Ke mana perginya kompas moral kepimpinan DAP?” soalnya.

Mengambil maklum kritikan Tiong Lai terhadap kerjasama DAP dengannya, Dr Mahathir menyoal pemimpin MCA ke mana perginya prinsip MCA yang bekerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menyoal sama ada Tiong Lai sedar perbuatan Najib terhadap Umno, BN dan negara. “Jika tidak, saya mahu beritahu Malaysia di bawah Najib tersenarai dalam 10 negara paling korup di dunia.”

Dr Mahathir seterusnya merujuk kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), usaha Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengesan wang yang digelapkan dan “Malaysian Official 1”.

“Pasti MCA merasakan semua itu ‘okay’. Itu prinsip MCA, yang perlu dipegang.”

Dr Mahathir berkata Najib menganggap politik hari ini pertarungan antara Umno dan DAP, dan menambah: “Itu bermakna Najib percaya pada rasisme kerana baginya politik Malaysia itu Melayu lawan Cina. Akhirnya beliau melakar semula sempadan yang memisahkan orang Melayu daripada orang Cina.

“Mungkin ia dipersetujui MCA selaku parti etnik Cina. DAP pula parti pelbagai bangsa yang menyokong semua peruntukan perlembagaan.

Beliau seterusnya berkata DAP menyokong sistem beraja, keistimewaan Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Malah, sambutan ulangtahun ke-50 DAP diadakan sepenuhnya dalam bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau menambah setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata DAP tidak pernah meminta seorang perdana menteri orang Cina, seraya menjawab dakwaan Najib kononnya Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri sekiranya DAP menang pilihan raya nanti.

Dr Mahathir berkata DAP mahu Anwar Ibrahim, “seorang bukan Cina”, menjadi perdana menteri.

Beliau berkata MCA “dengan jelas menyokong permainan rasis Najib”, dan menambah: “MCA tidak patut bercakap soal prinsip kerana ia juga mengambil kesempatan. MCA hari ini bukan parti Tun Tan Cheng Lock. Hari ini MCA cuma bahagian sampingan Umno Najib yang rasis.”

Mempertahankan kerjasama dengan DAP dan parti pembangkang, Dr Mahathir tidak mahu dikaitkan dengan “kerajaan kleptokrasi”.

“Bagi MCA semua tindakan Najib itu ‘okay’. Teruslah bersama beliau. Itu bermakna MCA tidak ada prinsip. DAP mendokong prinsip pilihan raya bersih, demokrasi dan kerajaan yang bersih.

“Kleptokrasi MCA sama seperti Najib. MCA patut berasa malu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.