Polis patahkan 14 cubaan serangan IS

Polis patahkan 14 cubaan serangan IS

Ketua penolong pengarah berkata amarannya berkenaan ancaman IS hanya dipercayai selepas pengeboman pusat hiburan di Puchong

Ayub-Khan_isis_600
AMMAN: Polis berjaya mematahkan 14 cubaan serangan keganasan oleh kumpulan militan IS di Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata orang ramai hanya mengetahui serangan militan IS adalah di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor pada 28 Jun lalu, sedangkan banyak cubaan kumpulan itu berjaya ditangani oleh polis.

“Ramai yang tidak percaya ancaman IS ini jelas dan wujud. Saya sudah bercakap tentang IS sejak 2013 tetapi lepas kes pengeboman di Puchong baru ramai percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja mengenai ‘Krisis Fahaman ISIS: Kesan, Pengaruh dan Pendekatan Pihak Berkuasa Malaysia’ semasa Seminar Menangani Keganasan Ekstremisme di Universiti of Jordan di sini baru-baru ini.

Ayob Khan bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci berkenaan cubaan serangan yang lain.

Beliau berkata IS banyak menggunakan media sosial semaksimum mungkin dalam merekrut anggota baharu dan menyebarkan ideologi mereka.

“Mereka ada beribu-ribu cybertroopers…selalu membalas apa yang kita uar-uarkan. Kumpulan ini ada televisyen dalam talian yang beroperasi 24 jam. Mereka juga ada laman web dan Twitter yang telah disekat. Sejak pertengahan tahun 2015 sehingga sekarang, sejumlah 360,000 akaun telah disekat,” katanya.

Katanya kumpulan itu juga menerbitkan majalah dalam talian ‘DABIQ’, dan semua ini menyebabkan pihak berkuasa juga perlu menekankan kepada media sosial untuk menanganinya.

“Mereka juga ada 5 kumpulan penggodam. Ada seorang warga Kosovo yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia telah menggodam laman web sebuah syarikat dan mencuri maklumat mengenai butir-butir peribadi tentera Amerika Syarikat dan menyalurkannya kepada kumpulan IS.

“Kita tangkap dan ekstradisi ke Amerika Syarikat dan dia telah pun dibicarakan dan dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara,” katanya.

Ayob Khan berkata kumpulan IS juga menggunakan 23 bahasa untuk menyebarkan ideologi mereka.

“Bagi statistik rakyat Malaysia di Syria pula adalah 27 orang lelaki, 12 wanita, 9 kanak-kanak lelaki, 8 kanak-kanak perempuan. Yang telah meninggal dunia 27 orang dan yang balik ke Malaysia 8 orang,” katanya.

Ayob Khan berkata polis tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti militan dan akan terus menjalankan operasi terhadap mana-mana individu, kumpulan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan mereka yang melangkaui garisan keselamatan akan ditangkap tanpa mengira latar belakang.

“Kita telah menahan 260 orang dari pelbagai negara kerana penglibatan dalam kumpulan militan bermula dengan 4 orang pada 2013, 59 orang pada 2014, 82 (2015) dan 115 (2016).

“Bagi rakyat Malaysia yang ditahan kerana penglibatan dalam kumpulan IS, 14 adalah tentera dengan 4 daripadanya adalah komando. Tiga anggota polis kita tangkap…juga ditangkap imam masjid, pensyarah universiti dan pegawai kerajaan yang ada gelaran Datuk,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.