Najib yakin langkah Bank Negara mampu kukuhkan ringgit

Najib yakin langkah Bank Negara mampu kukuhkan ringgit

Menteri kewangan berkata BNM sebagai pengawal selia, tahu dasar monetari negara termasuk pengurusan tukaran mata wang dan membuat kajian sebelum mengumumkan langkah berkenaan.

najib-bnm
ISKANDAR PUTERI:
Pengumuman langkah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meningkatkan mudah tunai pasaran tukaran asing pada Jumaat lalu, berupaya mengukuhkan mata wang negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib, yang juga menteri kewangan berkata beliau percaya BNM sebagai pengawal selia, mengetahui soal dasar monetari negara termasuk mengenai pengurusan tukaran mata wang dan mengkaji semasak-masaknya sebelum mengumumkan langkah berkenaan.

“Langkah yang mereka (Bank Negara) umumkan pada minggu lalu, saya percaya akan memberi rasa keyakinan kepada pasaran untuk mengambil langkah tertentu.

“(Dan) langkah itu kita percaya boleh mengukuhkan nilai mata wang ringgit, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ulang tahun ke-10 Iskandar Malaysia di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada langkah diumumkan BNM itu berupaya mengukuhkan mata wang negara.

Pada Jumaat lepas, BNM mengumumkan beberapa langkah yang dijangka boleh mengukuhkan kedudukan mata wang.

Antara langkah itu ialah pengeksport tempatan perlu menukar 75% hasil yang dijana daripada eksport kepada ringgit dan hanya 25% dibenar dikekalkan dalam mata wang asing.

Pada 3 petang ini, ringgit disebut harga pada 4.4410/450 berbanding dolar AS pada 4.4470/4500 ketika ditutup semalam.

Sementara itu, Najib berkata beliau yakin dengan kemampuan negara mencapai sasaran ekonomi bernilai RM2 trilion dalam masa 7 hingga 8 tahun akan datang.

Ketika berkongsi keyakinan itu, beliau berkata sasaran itu akan turut disumbangkan oleh perkembangan pesat wilayah Iskandar Malaysia.

“Saya mahu Malaysia muncul sebagai ekonomi (bernilai) RM2 trilion dalam masa 7 hingga 8 tahun.

“Saya sendiri ada berbincang dengan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani dan kita mampu mencapai ekonomi RM2 trilion berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi bersama IRDA berkata mahu melihat Malaysia muncul sebagai 20 negara utama ekonomi dalam satu jangka masa tertentu.

“Iskandar Malaysia juga akan memberi sumbangan ke arah pencapaian tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.