Kit Siang jadi PM, Dr M timbalan dalam ‘senarai Kabinet’ terkini

Kit Siang jadi PM, Dr M timbalan dalam ‘senarai Kabinet’ terkini

Antara lain, senarai itu memberikan 7 jawatan kanan Kabinet kepada pemimpin DAP sementara pemimpin Pakatan lain diberikan portfolio lebih rendah.

kit-siang
PETALING JAYA: DAP hari ini sekali lagi terpaksa tampil menafikan satu lagi senarai bakal Kabinet sekiranya ia bersama Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang, dan kali ini yang menjadi perdana menteri ialah Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu memegang jawatan tertinggi itu, sementara timbalannya ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya berasa terharu dipuji kerana buat pertama kali saya diberikan jawatan PM, walaupun dalam tempoh 51 tahun, tidak pernah terlintas mahu menjadi perdana menteri Malaysia,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Senarai Kabinet bayangan itu mula tersebar di Internet, selang 2 hari selepas Perhimpunan Agung Umno 2016 yang menyaksikan pemimpin utama dan perwakilan menumpukan serangan mereka terhadap DAP dan Dr Mahathir.

Senarai itu antara lain meletakkan 7 pemimpin DAP dalam portfolio kanan termasuk menteri kewangan (Lim Kit Siang), menteri di Jabatan Perdana Menteri (Lim Guan Eng) dan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (Teresa Kok).

Manakala pemimpin Pakatan Harapan lain seperti Rafizi Ramli sekadar diberikan jawatan menteri pelancongan, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diberikan portfolio menteri pembangunan wanita dan keluarga, serta Khalid Samad dari Amanah diberikan portfolio baharu, iaitu menteri kesenian, kebudayaan dan sejarah.

Sekilas pandang, barisan Kabinet itu jelas merupakan sindiran pengkritik Pakatan Harapan terhadap gabungan pembangkang itu.

Lim bagaimanapun membidas dalang di sebalik senarai itu kerana meneruskan “pembohongan” berupa serangan besar terhadap DAP berdasarkan kaum dan agama.

“Senarai palsu Kabinet Pakatan Harapan itu bertujuan memperkukuhkan pembohongan besar Umno dan propagandanya menyemai kebencian terhadap DAP,” kata Lim.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.