
Pemain tengah skuad Pulau Pinang itu berkata dirinya masih terkejut dengan pencalonan ke senarai akhir jaringan tercantik di dunia bagi tahun 2016.
“Terkejut! Saya percaya ini semua rezeki untuk anak-anak saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan pengundi di Malaysia.
“Saya berharap mereka terus mengundi saya,” kata Faiz kepada FMT.
Anugerah itu diwujudkan pada 20 Oktober 2009 oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bagi menghormati pemain yang menjaringkan gol “tercantik” setiap tahun.
Anak watan Kedah itu tercalon melalui jaringan hasil tendangan percuma dalam perlawanan Liga Super Malaysia, Pulau Pinang menentang Pahang, Februari lalu.
Menewaskan 7 calon lain termasuk Lionel Messia (Argentina) dan Neymar (Bercelona), Faiz masuk ke senarai akhir bersama Marlone dari kelab Corinthians, Brazil dan Daniuska Rodriguez dari skuad wanita kebangsaan Venezuela.
Pemakai jersi nombor 13 itu ingin mengayakan pakaian nasional ke majlis Anugerah Puskas Fifa 9 Januari tahun depan sekiranya diizinkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Apa jua keputusan saya terima. Bagi saya, berada dalam 3 calon terakhir sudah cukup berharga buat diri saya,” katanya.
Sementara itu, penaung Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi insentif RM15,000 kepada Faiz.
Insentif itu diberikan kepada Faiz kerana berjaya memasuki kelompok 3 jaringan terbaik Anugerah Puskas Fifa 2016.
“Kurniaan ini diberikan sebagai penghargaan atas kejayaan beliau yang telah mengharumkan nama negara,” kata TMJ di laman Facebook Johor Southern Tigers.
“Ianya tidak ada sebarang kaitan berkenaan spekulasi beliau akan menyertai kelab Johor Darul Takzim (JDT) untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan.
“Selamat maju jaya diucapkan buat Faiz Subri,” tambah TMJ.