
Lina Soo mendesak ketua menteri Pulau Pinang itu untuk menyokong kenyataannya dengan tindakan mengeluarkan partinya dari Sarawak, terlebih dulu.
“Jika Lim Guan Eng ikhlas, dia patut melihat hak politik autonomi Sabah dan Sarawak dengan mengeluarkan partinya terlebih dulu dan biarkan parti tempatan melawan Barisan Nasional di 2 negeri ini,” katanya dipetik daripada akhbar itu.
Soo berkata demikian ketika mengulas ucapan Lim yang juga setiausaha agung DAP pada persidangan tahunan parti itu pada Ahad, di mana Lim menjanjikan autonomi lebih besar kepada Sabah dan Sarawak, selain mencadangkan fahaman persekutuan baharu.
Beliau berkata cadangan itu menunjukkan kejahilan kerana persekutuan baharu akan bermakna Perjanjian Malaysia baharu, dengan semua penandatangan perlu berkumpul sekali lagi.
“Ia cuma cakap kosong saja. Ini kerana autonomi berada dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), jadi tidak ada sesiapa boleh ‘tawar’ benda yang sudah sedia ada.
“Lim tidak ada bidang kuasa untuk memberikan autonomi, dan dia tidak ada kapasiti menjanjikan apa-apa kepada Sarawak dan Sabah,” katanya kepada Borneo Post, menambah MA63 ialah perjanjian antarabangsa dan tidak ada kena mengena dengan Lim.
Sementara itu Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) Cobbold John Lusoi mempunyai pendapat berbeza dan berkata beliau percaya DAP boleh menunaikan janjinya.
Menurut Borneo Post, Cobbold berkata pemimpin DAP memahami dan mengiktiraf syarat dan terma dalam Perjanjian Malaysia di bawah di mana 2 negeri Borneo bersetuju dengan pembentukan Malaysia pada 1963.
“Saya tidak ragu-ragu yang parti itu akan tunai janjinya kerana pemimpinnya konsisten dengan isu autonomi ini,” katanya dipetik sebagai berkata.
Pada Ahad, dalam ucapan dasar di perhimpunan tahunan DAP di Shah Alam, Lim berkata DAP mahu menawarkan autonomi dan hasil lebih besar kepada Sabah dan Sarawak dalam “rundingan baharu” yang juga akan mengembalikan status 2 negeri itu sebagai rakan setaraf dalam penubuhan Malaysia.
DAP memasukkan rundingan baharu untuk Sabah dan Sarawak sebagai salah satu janjinya di bawah Deklarasi DAP@50 dalam satu sambutan ulang tahun ke-50 parti itu tahun ini.