Wanita belum miliki sepenuhnya koc merah jambu KTMB

Wanita belum miliki sepenuhnya koc merah jambu KTMB

Enam tahun selepas diperkenalkan, ramai penumpang lelaki masih tidak peduli.

ktm
KUALA LUMPUR: Selepas 6 tahun diperkenalkan, koc wanita Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) masih belum sepenuhnya milik wanita kerana masih dinaiki penumpang lelaki.

Dan ramai di antara mereka “buat tak tahu” mengenai pengasingan itu yang bertujuan memberi keutamaan kepada kaum Hawa dan anak kecil terutama ketika waktu sesak.

Koc khas wanita yang dicat warna merah jambu bertujuan memudahkan penumpang wanita menggunakan servis itu secara selesa.

Namun, sejak diperkenalkan, koc ini masih disalah gunakan oleh penumpang lain.

Pelajar kolej Vaisnavee Veeraiah berkata walaupun pegawai KTMB membuat pemeriksaan kerap, masih ada orang awam tidak mengikut peraturan, dan mungkin juga tidak sedar kewujudan koc wanita.

Kebanyakan daripada mereka ini warga asing, menurut Vaisnavee.

“Saya pun tak pasti sama ada mereka sengaja atau sebaliknya,” katanya.

Ibu hamil, Khamsiah Omar pula berkata walaupun lelaki masuk koc wanita, masih banyak tempat kosong untuk wanita.

“Bila orang tengok saya, mereka mungkin kasihan dan beri tempat duduk. Namun, ada kawan-kawan saya yang merungut apabila menaiki koc lain (bukan wanita), mereka diabaikan. Mereka mengadu tidak diberi tempat walaupun membawa anak,” katanya.

Tinjauan FMT minggu lepas turut mengesahkan perkara itu.

Salah guna itu kerap berlaku pada waktu puncak iaitu sekitar 8 pagi hingga 10 pagi, dan 5 petang hingga 7 malam.

“Pegawai juga tidak dapat berbuat apa kerana kebanjiran orang ramai khususnya di stesen,” kata Vaisnavee.

Malah, ada juga kes berlaku pada lewat malam di mana koc wanita dinaiki lelaki mabuk.

“Saya pernah lalui pengalaman itu apabila terpaksa turun di stesen yang jauh seperti Teluk Gadong atau Bukit Badak,” katanya.

Seorang pegawai KTMB yang enggan dinamakan berkata pemeriksaan dalam koc wanita akan dilakukan kakitangan bertugas sama ada di dalam tren mahupun di kaunter stesen. Mereka akan menasihati orang ramai supaya akur dengan peraturan agar lelaki tidak menaiki koc wanita.

“Dari masa ke masa, pengumuman juga dibuat dalam tren menggunakan mikrofon berpusat,” ujar pegawai itu.

Apa kata lelaki

Ada juga penumpang lelaki yang mengeluh koc wanita sesuatu yang tidak adil.

Baharuddin Zin, 40 dari Batu Tiga, Shah Alam, berkata KTMB harus bertimbang rasa kepada lelaki khususnya yang membawa keluarga.

“Kadang-kala bila bawa anak-anak, saya akan naik koc wanita, ikut isteri tetapi saya dipandang seolah melakukan kesalahan, sedangkan saya hanya meneman isteri menjaga anak,” katanya kepada FMT.

Siti Nazrishah Zariana, 20, berkata tiada sebab bagi kaum lelaki tidak sedar kewujudan koc itu.

Katanya KTMB sudah jelas memaparkan label dan pelekat berwarna merah jambu dengan gambar wajah wanita dan tulisan yang cukup besar.

Nazrishah merasakan pengenalan koc wanita sebagai selamat dan mengelakkan dirinya daripada gangguan seksual sesetengah penumpang lelaki.

“Saya harap usaha ini akan diteruskan, malah dikembangkan oleh pihak pengangkutan yang lain,” katanya lagi yang berasal dari Kelantan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.