MCA: Sekolah bukan punca rakyat bersatu atau berpecah

MCA: Sekolah bukan punca rakyat bersatu atau berpecah

Chua Tee Yong berkata, kenyataan tidak wajar seperti "penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan mengembalikan undi Cina" hanya akan membawa kesan sebaliknya.

Chua-Tee-Yong
PETALING JAYA: Bantahan besar-besaran di Indonesia baru-baru ini adalah bukti sekolah bukan punca masyarakat bersatu atau berpecah belah, kata naib presiden MCA.

Sehubungan itu, Datuk Chua Tee Yong yang dipetik Sin Chew Daily menggesa wakil rakyat tidak membuat kenyataan tidak wajar seperti “penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan mengembalikan undi Cina”.

Beliau berkata, kenyataan tidak sesuai itu hanya akan membawa kesan sebaliknya dan menyebabkan kehilangan undi berterusan.

Katanya, kerajaan mengiktiraf sekolah pelbagai aliran dengan menyediakan peruntukan menerusi bajet tahunan.

Ahli Parlimen Labis itu berkata, selain kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Johor turut mementingkan sekolah pelbagai aliran.

“Ternyata, pemimpin atau perwakilan yang mengeluarkan kenyataan sedemikian berfikiran sempit,” kata timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

Mengenai cadangan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu yang pelajar sekolah kebangsaan dibenarkan mempelajari bahasa Cina bagi meningkatkan perdagangan dengan China, beliau berkata, semua aliran sekolah di negara ini mampu membantu perdagangan Malaysia kerana China, Amerika Syarikat dan India adalah rakan dagang utama negara.

Jumaat lalu, lebih 100,000 umat Islam Indonesia mengadakan bantahan terhadap gabenor Jakarta beragama Kristian, demonstrasi kedua terbesar dalam tempoh beberapa minggu ini, susulan kumpulan konservatif mendesak penahanannya kerana didakwa menghina Islam.

Gabenor Basuki Tjahaja Purnama yang lebih dikenali dengan panggilan Ahok, didakwa kerana menghina Al-Quran ketika kempen pilihan raya, yang mencetuskan kemarahan di negara yang majoriti beragama Islam itu.

Kes itu dilihat sebagai sebahagian ujian terhadap toleransi agama di Indonesia, di mana reputasi pluralisme semakin terhakis dengan kebangkitan serangan terhadap minoriti.

Ratusan ribu Muslim Indonesia berarak protes gabenor Kristian

Ahok rela dipenjara jika bersalah

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.