
Penganalisis politik dari Universiti Malaya itu berkata, perwakilan mahu kepimpinan tertinggi DAP berwaspada supaya tidak menggadaikan prinsip semata-mata untuk memenangi pilihan raya umum akan datang yang belum tentu dimenangi Pakatan Harapan melalui kerjasama dengan Dr Mahathir.
Ini kerana, katanya, perwakilan masih trauma dengan kepimpinan Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri dahulu yang menekan DAP sehingga parti itu sukar menang dan berkembang.
“Daripada satu segi, DAP perlu berkompromi dengan pihak Dr Mahathir agar beberapa perkara yang pernah diperjuangkan DAP ‘ditune’ semula dan ini membimbangkan akar umbi atau penyokong tegar DAP.
“Misalnya, rang undang-undang (persendirian yang diusulkan) Hadi Awang yang tak melibatkan orang bukan Islam perlu disokong DAP. Setakat ini DAP bantah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo memberi amaran kepada DAP supaya berhati-hati dengan bakal sekutunya dan memastikan matlamat mereka benar-benar jujur serta mempunyai prinsip sama.
Beliau bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng “tiada kawan dan musuh kekal dalam politik”, hanya prinsip parti politik tetap kekal sama.
Sangeet merujuk pakatan baharu ditubuhkan DAP dengan Dr Mahathir dan parti politik baharunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Perwakilan dari cawangan USJ Subang Jaya itu berkata, adalah menarik melihat Dr Mahathir kini berjuang menentang penahanan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), apabila beliau sendiri memainkan “peranan penting dalam penguatkuasaan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)” ketika menjadi perdana menteri.
Lim berkata, walaupun DAP dan Dr Mahathir pernah bermusuh, mereka kini berkongsi matlamat sama untuk mengalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang “rasuah” bagi menjamin masa depan negara dan rakyat.