Orang Asli ugut lebih banyak sekatan jika Kelantan tidak akur

Orang Asli ugut lebih banyak sekatan jika Kelantan tidak akur

Mustafa berkata, tindakan menahan Orang Asli tidak akan melemahkan semangat mereka untuk memastikan hutan dan tanah adat tidak dimusnahkan akibat aktiviti pembalakan.

mustafa-asli-1
PETALING JAYA:
Kumpulan Orang Asli yang ditahan kerana menghalang beberapa laluan pembalakan di Gua Musang dalam usaha menuntut tanah adat mereka, mengancam akan mengadakan lebih banyak sekatan berskala besar.

Mustafa Along, seorang aktivis Orang Asli yang turut ditahan sebelum ini berkata, amaran itu ditujukan kepada kerajaan negeri Kelantan jika gagal memenuhi tuntutan mereka.

“Kami juga tidak teragak-agak melakukan lebih banyak sekatan selepas ini. Penahanan ini tidak akan mematahkan semangat kami sebagai aktivis Orang Asli,” katanya kepada FMT.

Mustafa antara 47 Orang Asli yang ditahan Selasa lalu, susulan tindakan mereka membuat sekatan di Simpang Petei dan jalan masuk ke Pos Bihai.

Mereka dibebaskan selepas direman 2 hari.

Mustafa mendakwa Jabatan Perhutanan Kelantan menahan mereka untuk manakut-nakutkan Orang Asli supaya berhenti mengadakan sekatan.

“Jabatan Perhutanan ingin memberi tekanan kepada Orang Asli dengan menangkap Orang Asli. Pada kami tindakan itu tidak berkesan kerana kami akan terus melakukan sekatan selepas ini supaya hutan kami tidak dimusnahkan.

“Walaupun penahanan ini kami anggap sebagai percubaan untuk menakut-nakutkan kami, tetapi kami sebagai aktivis Orang Asli tidak akan sekali-kali berundur,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Mohd Jamalludin Kasbi dilaporkan berkata, pihaknya tidak pernah memberi persetujuan kepada Orang Asli untuk melakukan sekatan di beberapa laluan pembalakan bagi menuntut tanah adat mereka.

Bagaimanapun, pihaknya akan sentiasa memberi sokongan jika tuntutan itu dilakukan berlandaskan peraturan dan undang-undang.

“Tindakan membuat sekatan di beberapa laluan pembalakan sebenarnya mencabar Dasar Perhutanan Negara dan saya harap kesemua 47 Orang Asli yang ditahan Selasa lepas, kembali ke pangkal jalan,” nasihatnya.

Berhenti buli kami, Orang Asli beritahu kerajaan Kelantan

Polis bebaskan 47 Orang Asli, disambut linangan air mata

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.