Masa depan Malaysia bersama China, kata perwakilan Umno

Masa depan Malaysia bersama China, kata perwakilan Umno

Ketua Wanita Umno Pasir Salak menggesa orang Melayu menguasai bahasa Mandarin agar mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan dari China

dr-wan-asikin
KUALA LUMPUR:
Seorang Perwakilan Umno hari ini menggesa orang Melayu meningkatkan kemahiran mereka untuk kerjasama yang lebih rapat dengan China.

Ketua Wanita Umno Pasir Salak Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata salah satu kemahiran itu ialah mempelajari bahasa Cina yang mungkin sukar tetapi sangat memberi manfaat.

“Seperti batu jed yang tidak berguna jika tidak digilap, seseorang itu berguna hanya jika dia berilmu.

“China adalah masa depan jadi kita kena dekatkan diri dengan China. Perlu belajar bahasa Cina, (ia) sukar tetapi ini demi ilmu dan masa depan,” katanya ketika membahaskan usul berkenaan agama dan pendidikan dalam Perhimpunan Agung Umno 2016 hari ini.

Katanya, hubungan baik dengan negara itu akan memberikan peluang kepada rakyat menunjukkan kebolehan dan produk mereka memandangkan China kini menjadi salah satu pasaran dagang terbesar di dunia.

“Misalnya pelabur China perlukan jurutera dalam bidang tertentu, tentunya mereka akan ambil anak tempatan yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.

“Kita selalu lihat iklan pekerjaan yang tertulis ‘hanya untuk yang boleh berbahasa Mandarin. Jika betul majikan mencari pekerja seumpama itu, marilah kita sahut cabaran dan ramaikan anak Melayu yang boleh berbahasa Mandarin,” katanya.

Wan Norashikin juga menggesa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menghasilkan lebih ramai pelajar yang mampu “berfikir di luar kotak” untuk menyahut cabaran globalisasi.
Beliau berkata walaupun ada ramai graduan hari ini, kebanyakan masih gagal mendapatkan pekerjaan.

“Maka Umno Perak sarankan kementerian pantau universiti agar kursus sentiasa relevan dengan keadaan semasa serta tambah kolej vokasional. Malah setiap kawasan Parlimen kena ada kolej vokasional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.