Kezaliman ke atas Rohingya langkau kedaulatan Myanmar, kata Najib

Kezaliman ke atas Rohingya langkau kedaulatan Myanmar, kata Najib

Najib berkata, Malaysia belum sampai ke tahap menggantung atau memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar.

najib-asean-1
KUALA LUMPUR:
Kezaliman tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya di Rakhine membabitkan soal sejagat dan hak asasi manusia yang mungkin mencetuskan krisis pelarian melimpah-ruah ke Malaysia serta negara lain di rantau ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, perdana menteri berkata, Malaysia mengambil pendirian tegas mengutuk penindasan berterusan terhadap etnik Rohingya di Rakhine.

Namun, katanya, ia tidak bermakna Putrajaya tidak menghormati kedaulatan Myanmar, sebaliknya penindasan ke atas etnik Rohingya sudah melangkaui soal kedaulatan.

“Sejarah akan hukum kita, kalau kita duduk pasif, tidak buat apa-apa walhal begitu ramai mati dengan cara paling kejam.

“Memang betul, kita tidak boleh campur tangan dalam urusan dalaman mana-mana negara, tapi kalau ia bertentangan dengan Piagam Asean sebab kejadian yang berlaku itu melimpah-ruah ke negara kita, kepada Indonesia.

“Beribu-ribu manusia dan mungkin ratusan ribu lagi menunggu dan kalau penganiayaan ini berterusan tentu sekali akan menjadi masalah, kita kena bertindak sebelum terlambat,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Umno 2016 hari ini.

Bagaimanapun, Najib berkata, Malaysia belum sampai ke tahap menggantung atau memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar, tetapi sebagai Komuniti Asean, Putrajaya menyokong nilai hak asasi manusia sejagat yang merupakan Piagam Asean.

Mengenai permintaan mengkaji semula keanggotaan Myanmar dalam Asean, Najib berkata, ia akan dibincangkan apabila tiba masanya.

Terdahulu, Najib dalam ucapan penggulungan perbahasan usul di akhir PAU 2016 mengecam tindakan penghapusan etnik Rohingya di Myanmar kerana ia bukan tingkah laku Asean yang boleh diterima.

Katanya, kekejaman ke atas etnik Rohingya sama sekali tidak melambangkan Komuniti Asean yang mementingkan perpaduan.

“Kalau dia zalimi orang, bakar manusia hidup-hidup, wanita dirogol tanpa belas kasihan, anak-anak dicincang hidup, ini bukan Komuniti Asean yang boleh kita terima.

“Rantau Asean tidak boleh bertolak ansur terhadap perbuatan zalim, kita minta mereka ubah sikap mereka. Ini pendirian Umno, apa nak jadi…jadilah, kita tetap dengan pendirian kita,” katanya yang berjanji akan menghadiri Himpunan Solidariti Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, esok.

Najib berkata, kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam himpunan itu tidak bermakna Umno bekerjasama dengan parti Islam itu daripada segi politik.

Katanya, kedua-dua parti itu sekadar mempunyai pendirian sama dalam isu itu kerana ia membabitkan umat Islam.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, himpunan itu juga bukan untuk mencampuri urusan dalaman Myanmar seperti didakwa Pejabat Presiden Myanmar, sebaliknya ia bertujuan mempertahankan nilai kemanusiaan.

Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay dipetik Myanmar Times memberi amaran kepada Malaysia supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal negara itu dan Duta Malaysia akan dipanggil untuk ditanya sama ada Najib akan menyertai himpunan itu.

Najib berkata, jika isu Rohingya tidak diselesaikan, Malaysia akan berdepan masalah kebanjiran pelarian dari negara itu, di mana rekod kini menunjukkan terdapat 56,000 orang Rohingya dan warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini, dengan ada lagi yang tidak direkodkan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan penggulungannya turut menyeru perwakilan parti menyertai perhimpunan itu yang diterajui 150 badan bukan kerajaan kerana bimbang dengan kekejaman ke atas etnik Rohingya.

Zahid: Najib, Hadi hadir himpunan 4 Dis prihatin nasib Rohingya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.