Pengawal peribadi tembak mati ‘Datuk’ ialah bekas askar

Pengawal peribadi tembak mati ‘Datuk’ ialah bekas askar

Khalid berkata, siasatan awal polis mendapati pengawal peribadi itu mungkin menghidap masalah mental.

khalid-bodyguard
GEORGE TOWN:
Lelaki yang ditahan kerana menembak majikannya bergelar “Datuk” dan 7 mangsa lain di Pulau Pinang semalam adalah bekas askar wataniah yang mungkin menghidap masalah mental, kata ketua polis negara.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek kedua yang ditahan ialah pemandu kereta BMW milik “Datuk” itu yang melarikan diri selepas pengawal peribadi terbabit melepaskan tembakan di dalam kereta.

Katanya, kedua-dua suspek itu berusia dalam lingkungan “awal 40-an” dan sepucuk pistol yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

“Daripada siasatan awal kami, saya tekankan siasatan awal…Dia ada masalah mental.

“Pengawal peribadi itu mempunyai permit membawa dan menggunakan senjata api. Dia tidak ada rekod jenayah lampau,” katanya di Universiti Sains Malaysia, hari ini.

Media melaporkan kedua-dua suspek direman hari ini untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian 7.15 malam di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Datuk Ong Teik Kwang, 32, mati di tempat kejadian serta-merta, manakala Senthil Murugiah, 38, dan Choi Hon Ming, 32, yang kebetulan melalui lokasi terbabit turut ditembak mati.

Mangsa cedera adalah Lee Hong Boon, 56; Nurul Huda Aziz, 38; Arivarni Krishnan, 33; Lim Boon Leng, 32 dan jurukamera sambilan RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amir, 28.

Polis percaya pengawal peribadi itu keluar daripada kereta selepas menembak majikannya untuk mencari pemandu terbabit.

Namun, tembakannya tersasar dan terkena orang ramai yang melalui tempat kejadian itu.

PAUTAN:

3 ditembak mati, 3 cedera di Pulau Pinang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.