
Rata-rata ahli keluarga yang ditemui FMT di sini terkesan dengan penahanan tersebut kerana kebanyakan yang ditahan merupakan punca nafkah keluarga yang menjadi tunjang tempat mereka bergantung.
“Saya rasa geram kerana dia ditahan bukan kerana jenayah, bukan kerana pembunuh, tetapi membela hak kami dan menuntut hak kami,” kata Lisa Rosman penuh emosi.
“Apabila ahli keluarga ditahan, dari segi persaraan keluarga terjejas, kami terpaksa meminta bantuan orang lain. Malah lebih sedih adik ipar saya ini yang masih lagi beranak kecil terseksa suaminya ditahan kerana dia bergantung sepenuhnya kepada suaminya untuk bekerja bagi mencari rezeki, bila ditahan sangat memberi kesan,” kata Lisa kepada FMT.
Sementara itu, bagi Herry Boy Angah yang menuntut di Kuala Lumpur, dia terpaksa pulang menjaga keluarga.
“Apa salah mereka ditahan, mereka ditahan di bawah akta apa?” soal Herry yang kematian ibunya.
“Apa salah kami bangkit mempertahankan hak kami, kami hanya mempertahankan hak kami, saya bukan sepatutnya berada di sini, tetapi di kelas. Tetapi bagi menuntut pembebasan keluarga saya dan tahanan yang lain, saya pulang,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Nasir Dollah berkata, kebanyakan ahli keluarga yang ditahan terseksa dengan penahanan tersebut.
Malah, seorang isteri yang suaminya ditahan jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.
“Dia keseorangan di hospital tanpa ditemani suami,” kata Nasir.
Selasa lalu, Jabatan Perhutanan Kelantan meroboh 2 sekatan yang menghalang laluan balak, sebelum memberkas 47 Orang Asli.
PAUTAN: