
Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata pihaknya sedang memantau beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai memainkan peranan termasuk mengeksploitasi masyarakat Orang Asli untuk mengadakan beberapa sekatan pembalakan di kawasan hutan berkenaan.
“Kita tahu ada pihak tertentu yang menjadikan (isu itu) viral di media sosial kononnya polis menangkap Orang Asli ketika operasi merobohkan sekatan laluan balak semalam.
“Tindakan itu dilihat seolah-olah cuba mencemarkan imej polis dengan mendakwa polis bekerjasama dalam menahan Orang Asli sedangkan kita hanya membantu Jabatan Perhutanan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Polis Narathiwat, Thailand Komander Polis Ratbovorn Bumrungros di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Semalam, selepas maklumat baharu yang dikemas kini hari ini, seramai 47 Orang Asli yang membuat sekatan di Simpang Petei dan jalan masuk ke Pos Bihai ditahan polis selepas enggan berganjak dan tidak beredar dari kawasan sekatan ketika operasi dijalankan Jabatan Perhutanan Kelantan.
Operasi merobohkan sekatan laluan keluar balak itu terpaksa dilakukan selepas rundingan antara kerajaan negeri dan Orang Asli menemui jalan buntu, dipercayai disebabkan ada campur tangan pihak luar.
Rahman berkata tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas individu yang cuba memburukkan imej polis di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) iaitu larangan terhadap pemberian kandungan jelik dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.
Beliau berkata kesemua Orang Asli yang ditahan semalam turut direman selama 2 dan 3 hari bagi membantu siasatan.
Katanya pihaknya turut menerima 9 laporan polis berkaitan isu itu iaitu 2 daripada polis, 3 oleh Jabatan Perhutanan Kelantan dan selebihnya daripada NGO.
Dalam pada itu, Rahman berkata pihaknya juga tidak menolak untuk mengambil tindakan terhadap kira-kira 70 peserta yang mengadakan perhimpunan haram di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada pukul 10 malam tadi hingga 3 pagi.