Perkongsian kuasa hilang kalau Cina terus sokong DAP, kata naib ketua Pemuda

Perkongsian kuasa hilang kalau Cina terus sokong DAP, kata naib ketua Pemuda

Berdasarkan senario sokongan terhadap BN pada PRU 2008 dan 2013, melihatkan kemerosotan ketara pengundi Cina dan ia memerlukan tindakan segera, kata naib ketua Pemuda.

Khairul-Azwan-Harun_umno_600_11
KUALA LUMPUR:
Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan berkata sokongan berterusan pengundi Cina kepada DAP akan hanya menamatkan perkongsian kuasa yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Azwan turut memberi amaran ia akan hanya mendekatkan Umno kepada parti lain yang ingin menegakkan syariat, dipercayai merujuk kepada PAS.

“Jika mereka terus dihasut dan makan racun DAP, tidak kembali kepada semangat muafakat inklusif BN maka jangan terkejut jika parti politik lain bersehaluan dengan kita.

“Yang ingin negara terus dipimpin pihak yang ingin syariat Islam dikukuhkan, akan bersama dan bersatu dengan kita,” katanya sewaktu ucapan penggulungan Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2016.

Katanya, dalam memperjuangkan agenda BN, parti komponen harus bergerak seiring dan jangan membiarkan segala bebanan ketika PRU ditanggung Umno sendirian.

“Bila sudah menang, jerit-jerit minta jawatan dalam Kabinet. Apa makna perkongsian kuasa kalau tiada perkongsian risiko. Saya hendak ingatkan kepada sahabat kepimpinan parti komponen BN, jangan hanya mahu ‘play safe’.

“Mahu bertanding di kawasan yang mudah menang dan masih lagi meneruskan program kononnya untuk pertahankan kepentingan bangsa Cina tetapi tanpa disedari tindakan itu ‘counter productive’,” katanya.

Jelasnya, tidak mustahil jika DAP terus mendapat tempat di hati pengundi. Justeru, permuafakatan di antara parti komponen BN perlu dikaji semula.

“Kaji semula permuafakatan BN, khususnya tentang status quo dan kontrak sosial. Hancur DAP, hancur DAP.

“Saya menyeru kepada semua, kita mesti tolak agenda cauvanis DAP, kerana DAP itu sebenarnya anti anti perpaduan, dasar anti Perlembagaan, dasar agen pengkhianatan,” katanya.

Dapatkan sokongan sebelum ganti saya, Khairy pesan Azwan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.