
Di Jepun dan Korea Selatan, golongan tua masih menjadi punca kewangan, menampung anak dewasa mereka yang tidak mampu memulakan kehidupan mereka sendiri.
Malah, keadaan ini memaksa ramai warga emas melupakan terus hasrat bersara.
Di Jepun, lebih 3 juta orang bujang berumur antara 35 dan 44 masih tinggal bersama ibu bapa mereka, menurut kajian. Di kalangan mereka, seramai 620,000 sama ada menganggur atau tidak mempunyai pekerjaaan tetap.
“Dalam banyak kes, mereka pasrah selepas gagal mendapatkan pekerjaan selama 3 atau 4 tahun,” kata Fumihiko Nishi, pengkaji di Institut Kajian Statistik dan Latihan.
Menurutnya, kebanyakan mereka menjadi biasa dengan kehidupan menganggur dan apabila mencapai usia 30-an, mereka terus bergantung kepada wang ibu bapa termasuk wang pencen.
Keadaan sama juga berlaku di Korea Selatan di mana 26% daripada golongan berumur 25 tahun ke atas tinggal bersama ibu bapa, berbanding hanya 9% pada 1985.
Hampir separuh orang muda di Hong Kong dan 30% di Australia masih tinggal bersama ibu bapa mereka.
Di Singapura, 37% pasangan yang sudah berkawin bujang masih tinggal di rumah orang tua mereka.
Di Indonesia pula, 67% golongan berusia 16-30 tahun tinggal bersama ibu bapa dan keluarga terdekat, dan hanya 1.5% tinggal bersendirian.
Menurut Bloomberg, kajian mendapati 2/3 belia Asia Timur berumur antara 22 dan 29 tahun masih bersama ibu bapa mereka, sementara 18% daripada mereka tidak ada rancangan berpindah disebabkan harga hartanah yang melambung.
Kajian juga mendapati keadaan itu paling ketara di Hong Kong dan India.