Dapatkan sokongan sebelum ganti saya, Khairy pesan Azwan

Dapatkan sokongan sebelum ganti saya, Khairy pesan Azwan

Mengakui ini penggal terakhir menerajui Pemuda, Khairy menegaskan naib ketua sayap itu perlu mendapatkan sokongan ahli untuk memenangi jawatan berkenaan.

khairy-azwan
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini secara berseloroh memberi bayangan Khairul Azwan Harun sebagai bakal penggantinya.

Mengakui ini adalah penggal terakhirnya menerajui sayap parti tersebut, menteri belia dan sukan itu berkata Khairul atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro yang kini menjawat jawatan naib ketua Pemuda, perlu mendapat sokongan ahli untuk memenangi jawatan berkenaan.

Beliau juga menasihatkan Pemuda agar lebih fokus kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) daripada pemilihan parti yang ditangguhkan sehingga selepas PRU14.

“Saya tak bincang soal pemilihan parti kerana yang paling penting ialah pilihan raya, tetapi saya perlu beritahu Pemuda Umno, ini adalah penggal terakhir saya…perlu beri notis,” katanya kepada pemberita di luar Perhimpunan
Agung Pemuda Umno.

Ditanya mengenai cabaran daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU14, katanya Pemuda tidak memandang ringan dan akan meningkatkan usaha menarik sokongan golongan muda.

Khairy berkata Pemuda perlu memberi harapan kepada golongan muda yang pandangan mereka dapat disampaikan kepada kerajaan.

“Walaupun kita tak pandang ringan cabaran daripada parti baru ini, saya yakin kita masih mampu mendapat sokongan majoriti daripada pengundi Melayu nanti,” katanya.

Beliau bagaimanapun bimbang mungkin ada ahli Umno bersimpati terhadap bekas pemimpin parti itu.

“Sebab itu kita perlu memberi mesej yang jelas dalam politik, sebaik anda keluar daripada Umno, kita ada batasan dan perlu berjuang.

“Tiada tempat untuk anggota yang bersimpati secara senyap-senyap. Anda perlu jelas dengan kesetiaan dan sokongan anda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.