Anggota perhutanan roboh sekatan, Orang Asli nyanyi Negaraku

Anggota perhutanan roboh sekatan, Orang Asli nyanyi Negaraku

Video yang dimuat naik aktivis dan peguam Siti Kassim itu menunjukkan “kemusnahan” sekatan itu yang dibina di situ sejak 2 bulan lalu.

orang-asli-1
KUALA LUMPUR:
Penunjuk perasaan Orang Asli menyanyikan lagu kebangsaan ketika anggota Jabatan Perhutanan Kelantan sedang memusnahkan sekatan yang dipasang sejak 2 bulan lalu bagi menghalang pembalakan di rizab hutan di Gua Musang, semalam.

Kejadian itu dapat dilihat menerusi video dimuat naik Siti Kasim, aktivis yang memperjuangkan hak asasi Orang Asli.

Video itu menunjukkan sekumpulan Orang Asli Temiar mengibarkan bendera Malaysia ketika mereka berdepan dengan pihak berkuasa.

“Video pertama diperoleh daripada Orang Asli di tempat sekatan ketika ia dirobohkan. Ia sungguh mengharukan, orang Temiar menyanyi Negaraku ketika sekatan mereka dimusnahkan pegawai perhutanan,” tulis Siti di laman Facebook.

Beliau berkata satu lagi video memaparkan keadaan selepas sekatan itu musnah dan peguam itu turut memuat naik gambar menunjukkan pondok dan serpihan buluh yang digunakan untuk membina sekatan itu.

Dalam video itu, Ani, seorang Orang Asli mendakwa Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan tidak memberitahu mereka sebelum memusnahkan sekatan itu dan pondok yang digunakan penunjuk perasaan untuk berteduh.

Sementara itu, laporan dalam The Star memetik Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan Mohd Radhie Chu Abdullah sebagai berkata 41 Orang Asli ditahan semalam kerana “menceroboh di rizab hutan kekal”.

Akhbar itu melaporkan sekatan di Simpang Petir dimusnahkan tetapi 2 lagi sekatan lain di Pos Pasik dan Pos Bihai, dikekalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.