Jabatan hutan Kelantan roboh 2 sekatan, tahan 41 Orang Asli

Jabatan hutan Kelantan roboh 2 sekatan, tahan 41 Orang Asli

Pihak Jabatan Perhutanan Kelantan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap Orang Asli jika terus berdegil mengadakan sekatan pembalakan.

 

orangaslikelantan
GUA MUSANG: Jabatan Perhutanan Kelantan meroboh 2 sekatan yang menghalang laluan balak dalam operasi hari ini, kata Timbalan Pengarah Operasinya Mohd Radhi Che Abdullah.

Radhi berkata operasi pertama merobohkan sekatan bermula pada pukul 11 pagi di Simpang Petei, manakala operasi ke-2 pula pada jam 3.30 petang di jalan masuk ke Pos Bihai, di sini.

“Operasi itu dijalankan susulan notis merobohkan sekatan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Kelantan sebelum ini. Tiada sebarang kekecohan berlaku ketika operasi itu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Beliau berkata operasi itu turut mendapat kerjasama kira-kira 200 kakitangan pelbagai agensi termasuk polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, katanya beberapa Orang Asli yang tinggal di luar Kelantan turut ditahan dalam operasi tersebut dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk membantu siasatan.

“Kita akan siasat kenapa mereka berkumpul dan membina sekatan laluan balak di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah,” katanya.

Katanya pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Orang Asli jika mereka terus berdegil untuk mengadakan sekatan pembalakan pada masa akan datang.

Di Kota Bharu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri menyerahkan isu berkaitan insiden menghalang laluan balak di 3 lokasi iaitu HSK Balah, HSK Perias dan HSK Gunung Stong kepada Jabatan Perhutanan Kelantan dan polis.

“Isu penangkapan yang berlaku tadi sewajarnya diserahkan kepada kebijaksanaan pihak polis dan tidak seharusnya mana-mana pihak campur tangan sehingga siasatan yang dijalankan selesai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail dalam satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp berkata seramai 41 individu ditahan dalam operasi tersebut sehingga 6 petang tadi.

Difahamkan operasi merobohkan sekatan laluan keluar balak itu terpaksa dilakukan selepas rundingan yang dilakukan kerajaan negeri dengan Orang Asli menemui jalan buntu dipercayai disebabkan ada campur tangan pihak luar.

Sekat aktiviti pembalakan, 32 Orang Asli ditahan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.