
Sebaliknya, presiden Umno itu berkata krisis pencabulan hak asasi manusia itu hanya boleh ditamatkan dengan kerjasama masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Asean dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Ditanya mengenai campur tangan asing dalam urusan negara Islam, Najib berkata ia amat merugikan umat Islam selain boleh menyebabkan konflik.
“Bila mereka campur tangan tentunya ada agenda tertentu sama ada sengaja atau tidak sengaja. Tentu sekali mereka tidak faham keadaan dalam negara Islam,” katanya pada program Soal Jawab Khas bersempena Perhimpunan Agung Umno 2016, di sini, hari ini.
Selain itu, perdana menteri menegaskan sebagai sebuah negara demokrasi dan berdaulat, rakyat perlu bebas dalam menentukan kepimpinan serta hala tuju sendiri dan bukannya sanggup dipengaruhi pihak asing.
Beliau berkata mengikut laporan WikiLeaks dan DCLeaks, hartawan Amerika Syarikat George Soros melalui Open Society Foundation memberi dana kepada kumpulan tertentu untuk melakukan kekacauan seperti “The Orange Revolution” di Ukraine dan Arab Spring di negara Timur Tengah.
“Kumpulan tertentu akui menerima dana daripada Open Society Foundation. Jadi, soalnya memang ada campur tangan asing dalam urusan negara kita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Najib menyelar tindakan sesetengah pihak yang memainkan soal kenegerian melibatkan penduduk Sabah dan Sarawak termasuk mendakwa kerajaan Persekutuan menarik hak mereka.
Mengulangi kenyataan beliau sebelum ini, Najib berkata kerajaan amat komited dengan Perjanjian Malaysia 1963.
“Jadi kita dalam proses melihat semula tafsiran itu dan kalau sesuatu yang kita buat jelas menarik hak orang Sabah dan Sarawak, kita sanggup betulkan.
“Tetapi, waima apa pun ia mestilah dalam lingkungan Perlembagaan Malaysia dan soal Sabah Sarawak secede (berpisah), keluar, itu non-negotiable (tidak boleh dirunding), jangan sebut, sebab itu adalah salah dari segi undang-undang negara,” katanya.