
Mereka ialah Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar; Adun Sekinchan, Ng Suee Lim; Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin; bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pemuda PKR Selangor, Afzainizam Rahman.
Mereka disoal siasat hampir 2 jam di Balai Polis Travers berhubung kemungkinan melanggar Akta Hasutan 1948 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Saifuddin berkata, mereka secara dasarnya ditanya soalan sama mengenai perhimpunan Bersih 5 yang berlangsung pada 19 November lalu.
“Mereka tanya kami mengenai penyertaan kami dalam perhimpunan itu, sama ada kami tahu mengenai Bersih 5 dan jika kami berucap dalam perhimpunan itu.
“Jawapan kami semuanya sama dan kami memilih mendiamkan diri sehingga dihadapkan ke mahkamah,” kata ketua setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan itu kepada pemberita di luar Balai Polis Travers.
Ng pula berkata, polis sepatutnya memfokuskan keselamatan masyarakat, bukannya membuang masa menyiasat pembangkang.
“Polis sepatutnya menyiasat mereka yang mencuri wang rakyat dalam skandal 1MDB, bukannya mereka yang menghadiri perhimpunan aman.”
Norlela berkata, beliau enggan menjawab sebarang soalan polis kerana tidak mahu menyalahkan sesiapa.
“Saya harap kerajaan tidak akan menggunakan undang-undang untuk mengambil tindakan tegas terhadap penunjuk perasaan aman. Jika mereka mahu membuat tangkapan, mereka perlu tangkap beribu-ribu orang.
“Kami dibenarkan berhimpun secara aman di bawah Perlembagaan.”
Perhimpunan Bersih 5 menuntut pembaharuan institusi – pilihan raya dan kerajaan bersih, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen, hak untuk mempunyai pendapat berbeza dan pengagihan kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak – juga peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.