
Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata pada masa ini terdapat majikan yang menganiayai pekerja etnik Rohingya kerana mereka tidak mempunyai dokumen sah.
“Perlu ada hitam putih, dokumen yang sah. Apabila tidak ada dokumen, jika ada salah laku majikan mereka tidak boleh bawa perkara itu ke mahkamah.
“Kalau kerajaan betul-betul mahu membantu dan memberi pekerjaan kepada etnik Rohingya, kami minta supaya perkara ini ditunaikan terlebih dulu,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kerajaan dalam proses melaksanakan projek perintis bagi memberi kebenaran kepada 300 pelarian etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR bekerja.
Nur Jazlan berkata mereka yang berkelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan kerajaan akan dibenarkan bekerja dalam sektor perladangan dan perkilangan.
Bagaimanapun Zafar berkata pihaknya sendiri tidak mempunyai masalah untuk membekalkan 300 tenaga pekerja seperti diminta kerajaan tetapi mengharapkan angka itu ditambah.
“Kita minta kerajaan Malaysia berilah mereka peluang untuk bekerja, supaya mereka mendapat taraf hidup dan kehidupan sosial yang lebih baik.
“Kalau bagi 300 orang saja yang bekerja, bagaimana pula dengan nasib kira-kira 100,000 etnik Rohingya lain. Kalau 300 saja dapat bekerja, bagaimana etnik Rohingya lain hendak ‘survive’,” katanya.
Zafar berkata pihaknya bersedia bertemu dan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai perkara itu.
“Kalau boleh saya mahu jumpa, cara macam mana hendak beri 300 etnik Rohingya bekerja di Malaysia. Bukan itu saja, untuk 100,000 ribu pekerja lain pun boleh.
“Kita perlu tahu, berapa jam bekerja, gaji, makan dan minum mereka, adakah diberikan hostel atau tidak. Kita betul-betul mahu tahu,” katanya.
Sejumlah 151,560 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia direkodkan sehingga Mei lepas.
Daripada jumlah itu, 137,261 berasal dari Myanmar yang terdiri daripada etnik Rohingya (52,960), Chins (42,973), Myanmar Muslim (11,232), Rakhines dan Arakanese (5,762) serta beberapa etnik lain.