
Sehubungan itu, John Chew mencadangkan kerajaan memperkemas prosedur pengambilan anak angkat bagi membendung penjualan bayi.
“Ibu bapa boleh menjadi amat terdesak apabila mereka mahu anak dan mengambil anak angkat adalah satu daripada cara untuk mempunyai anak,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata, kehamilan tidak diingini sering memaksa ibu mengambil jalan keluar dengan mencari pengedar dan wanita asing yang mengandung sering terperangkap dalam dilema itu.
“Adalah sukar untuk menerima bayi yang dilahirkan wanita asing sebagai anak angkat, khasnya untuk mendapatkan sijil kelahiran.”
Beliau berkata, MMA tidak menyokong pengambilan anak angkat secara haram dan tindakan perlu diambil terhadap doktor tidak bertanggungjawab yang terbabit dalam penjualan bayi.
Sehubungan itu, MMA menggesa pihak berkuasa menyiasat pendedahan Al Jazeera hari ini berhubung sindiket menjual bayi yang beroperasi di Malaysia.
Dalam dokumentari yang disiarkan hari ini, sebuah pasukan siasatan Al Jazeera mendapati bayi dijual dalam talian pada harga AS$1,500 (RM6,600) hingga AS$2,500 (RM11,000).
Dokumentari “Malaysia: Bayi untuk dijual” mendedahkan pemerdagangan bayi secara haram membabitkan rangkaian pengedar, doktor dan pegawai kerajaan yang mengaut keuntungan daripada wanita serta kanak-kanak.
“Kami berharap pihak berkuasa akan menyiasat semua dakwaan Al Jazeera. Jika benar, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, pakar obstetrik yang terbabit dalam menyambut kelahiran bayi dan penjagaan ibu selepas bersalin bertanggungjawab mengeluarkan sijil kelahiran.