Anak Tajuddin antara 11 suspek serang Khalid ditahan polis

Anak Tajuddin antara 11 suspek serang Khalid ditahan polis

Seramai 8 lelaki dan 3 wanita berusia 28 hingga 54 tahun ditahan kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

amar-singh-1
PETALING JAYA: Anak Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman bersama 10 individu lain ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung serangan ke atas Khalid Abdul Samad di perkarangan bangunan Parlimen, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam satu kenyataan hari ini berkata, seramai 8 lelaki dan 3 wanita berusia 28 hingga 54 tahun ditahan kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Selain 8 lelaki dan 2 wanita yang berada dalam senarai polis, seorang lagi wanita berusia 54 tahun juga tampil menyerah diri di balai polis hari ini.

Amar Singh berkata, mereka semua disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai bukti atau maklumat lain berkaitan kejadian itu tampil menyalurkan maklumat kepada Balai Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid dilaporkan cuba diserang sekumpulan individu di perkarangan Parlimen, semalam.

Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, apabila Khalid memanggil Tajuddin “sial”.

Kumpulan perusuh itu pada mulanya hanya mengganggu Khalid dengan menjerit “Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak!” sebelum seorang daripada mereka terjatuh di depan beberapa pegawai keselamatan Parlimen dan keadaan bertukar ganas.

Salah seorang lelaki dalam video itu juga dilihat menjerit kepada pengarah komunikasi Amanah itu dan berkata “ini baru permulaan”.

Insiden di Dewan Rakyat itu berpunca daripada kenyataan timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu dengan merujuk ahli Parlimen Seputeh sebagai “satu-satunya wanita dengan Kok”.

Beliau enggan menarik balik kenyataannya dan disokong Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee yang memutuskan tiada keperluan melakukannya dengan mengatakan Tajuddin hanya merujuk kepada nama Kok.

Sampai 2 petang, penyerang Khalid Samad sila serah diri, kata KPN

Perkara biasa anak pertahan maruah bapa, kata Tajuddin

Khalid Samad diserang di perkarangan Parlimen

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.