
Ini berikutan keputusan dibuat panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan bagi kebenaran merayu dikemukakan Nallakaruppan, Utusan Melayu dan ketua pengarangnya Datuk Abdul Aziz.
Permohonan itu bagi membolehkan mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang kes jenayah Anwar sebelum ini tidak boleh digunakan untuk menyerang peribadi bekas ketua pembangkang itu dalam saman tersebut.
Nallakaruppan, Utusan Melayu dan Aziz mahu mengemukakan kes sabitan rasuah Anwar dan satu kenyataan dalam penghakiman majoriti Mahkamah Persekutuan pada 2004 dalam kes liwat pertama dihadapi Anwar yang mendakwa beliau (Anwar) mempunyai kecenderungan homoseksual.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang mempengerusikan panel itu berkata mereka (semua hakim yang bersidang) sebulat suara memutuskan untuk menolak permohonan kebenaran untuk merayu yang dikemukakan mereka selepas mendapati ia tidak mempunyai merit.
Beliau juga memerintahkan mereka membayar RM15,000 sebagai kos.
Anwar memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Nallakaruppan, Utusan Melayu dan Aziz pada 26 Mac, 2012 berhubung artikel diterbitkan dalam Utusan Malaysia pada tahun sama.
Mahkamah Rayuan pada 29 Mei tahun lepas membenarkan rayuan Anwar untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan Seksyen 43 Akta Keterangan 1950 melarang keterangan dalam sabitan terdahulu digunakan dalam kes sivil.
Susulan keputusan itu, peguam R Sivarasa yang mewakili Anwar berkata Nallakaruppan, Utusan Melayu dan Aziz tidak boleh mengemukakan sebarang pembelaan yang berbangkit daripada perkara jenayah itu.
Beliau berkata berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memberikan kebenaran itu, ia mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Peguam Shahid Adli Kamarudin yang juga mewakili Anwar, memberitahu wartawan perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi pada Khamis.
Nallakaruppan, Utusan Melayu dan Aziz diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.